KHILAF… Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. memohon maaf susulan kecuaian syarikat itu baru-baru ini mengeluarkan surat tuntutan mahkamah terhadap sebuah agensi pelancongan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faizal Othman berkata, siasatan terperinci telah dilakukan dan pihaknya telah menarik balik tuntutan mahkamah dikenakan terhadap syarikat pelancongan Five Estec Travel Services (FETSSB) Sdn. Bhd.
“Mengenai aduan FETSSB, IWK memohon maaf di atas kesulitan dan mengambil perkara ini secara serius.
“Kami ingin menyakinkan pelanggan bahawa IWK sentiasa memastikan sistem maklumat pelanggan kami tepat dan akan pastikan prosedur sentiasa diperketatkan supaya perkara sebegini tidak akan berulang lagi.
“Selaku syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk mengendali dan menyelenggara sistem pembetungan awam di negara ini, IWK sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang berkualiti demi keselesaan pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Difahamkan, kesilapan bil tertungak berjumlah RM3,899.48 yang dikenakan ke atas FETSSB dipercayai berpunca akibat daripada kecuaian kakitangannya IWK yang gagal melakukan semakan alamat syarikat.
Ekoran itu Mynewshub menerbitkan artikel bertajuk “IWK ‘Hargai’ Pelanggan Hantar Surat Peguam?” sebagai huraian mengenai kesilapan syarikat itu yang tanpa berlengah terus memberikan ‘hukuman’ kepada pihak tidak bersalah.
Baca: IWK ‘Hargai’ Pelanggan Hantar Surat Peguam?
Dalam surat peguam yang dikeluarkan melalui firma guaman Arifin And Partners itu juga meminta wakil agensi pelancongan itu untuk menghadirkan diri ke mahkamah pada 3 April bagi pengurusan kes. – MYNEWSHUB.CC