SALAH orang lain, orang lain pula yang terkena tempiasnya… Sampaikan yang tidak terlibat pun turut dikecam atas tindakan tuan empunya badan.

Kes keretakan rumah tangga yang terjadi antara Ude bersama isteri pertamanya, Intan Liana membuatkan ramai netizen berang dengan tindakan lelaki itu yang mahu cerai setelah menikahi Izreen Azminda sekitar Ogos lalu.
Pelakon Rita Rudaini turut terkesan apabila dia telah dikecam oleh netizen mulut bawang berkenaan isu yang terjadi atas Izreen dan suami selepas kedua-duanya memadam akaun Instagram milik mereka sejak beberapa hari lalu.
BACA:

“Memang kami berkawan, namun tidaklah sampai hal peribadi pun saya hendak masuk campur. Apabila kita sudah memberikan nasihat, yang selebihnya terpulang pada individu itu sendiri,” katanya dipetik BH Online.
Pelakon drama Misi Laksa Dan Laksam itu akui bahawa dia sememangnya rapat dengan Izreen namun ianya tidak membuatkan dia turut terlibat dalam hal rumah tangga temannya.

“Saya sendiri pernah berdepan dengan kecaman netizen, jadi hadapilah (kesan daripada) tindak-tanduk kita sendiri. Janganlah buat orang yang tiada kena mengena terpalit sama pula,” tambahnya.
Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, pada mula dikecam, dia masih mampu menahan rasa amarah itu tetapi apabila sudah lama-kelamaan, ianya semakin menjadi-jadi.
Dia juga berharap agar netizen tidak menyalahkan dirinya tanpa usul periksa atas apa yang terjadi kepada rakan baiknya itu.

Dalam masa yang sama, Ritu turut memberitahu bahawa dia berasa agak terkilan kerana disebabkan isu itu, kedua-dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna turut terkena tempias.
“Perkara sebegini bukan saja memberi kesan buruk kepada saya, malah anak-anak juga terkena kesannya. Mereka semakin membesar dan sudah pandai membaca,” ujarnya lagi.
Bagi Rita, dia sememangnya sudah lali dengan segala kata cacian yang dilemparkan kepadanya sejak kes penceraiannya bersama dengan pemain bola sepak, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Namun jika ada yang menyentuh tentang keluarga dan anak-anak, dia tidak teragak-agak untuk membuat tindakan sekiranya si kecil itu turut dikaitkan dengan apa-apa isu yang tidak berasas. – MYNEWSHUB.CC/ AH

