BARU-BARU ini, penyanyi kelahiran Singapura iaitu Awi Rafael mendedahkan dia mengenali tunangnya, Atikah Suhaime sejak lapan tahun lalu ketika masih bercinta dengan Hanez Suraya.
Mengakui terkejut dengan perkara itu, Hanez meluahkan rasa terkilan terhadap kenyataan yang dilontarkan oleh pelantun lagu Kalau Aku Kaya itu.
“Saya tak tahu tentang perkara itu sehingga ada wartawan yang hubungi dan meminta komen. Saya terkejut dan tak faham kenapa dia perlu sebut nama saya,” kata Hanez dipetik sebuah portal online.

Tambah Hanez, isu berkenaan sangat sensitif dan Awi patut menghormati statusnya sebagai isteri orang.
Malah Hanez berkata lagi, hal antara mereka sudah lama berlalu dan ia tidak perlu diungkit kerana tidak mahu suami terkesan dengan perkara berkenaan.
“Mohon hormati status saya sebagai seorang isteri dan saya tak mahu suami terkesan dengan isu sebegini yang agak sensitif,” katanya.
Terdahulu, Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Ewan Gunawan Rafael memberitahu dia hanya mula mengenali Atikah ketika masih bergelar kekasih kepada Hanez.
Pun begitu menurut Awi perkenalan sejak lapan tahun lalu membibitkan perasaan cinta sejak lima bulan lalu. – MYNEWSHUB.CC/AM