NEW YORK – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pada Rabu menyambut baik pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, lapor agensi berita China Xinhua.
“Setiausaha agung menyambut baik komitmen Korea Utara terhadap pembasmian senjata nuklear seperti yang dilaporkan,” kata timbalan jurucakap Guterres, Farhan Haq, dalam satu kenyataan.
“Beliau (Guterres) melihat perkembangan positif terkini itu sebagai satu permulaan bagi proses dialog ikhlas lebih panjang, yang membawa ke arah keamanan dan pembasmian senjata nuklear mapan di Semenanjung Korea,” menurut kenyataan itu.
Kim melakukan lawatan tidak rasmi ke China dari Ahad hingga Rabu dan bertemu Xi di Beijing.
Terdahulu pada Rabu, Haq memaklumkan satu taklimat media tetap bahawa setiausaha agung PBB itu “menyambut baik sebarang langkah yang akan membawa kepada pembasmian senjata nuklear secara aman di Semenanjung Korea.”
Brenden Varma, jurucakap Presiden Perhimpunan Agung PBB, Miroslav Lajcak, memaklumkan taklimat media yang sama bahawa “Presiden menyokong semua usaha yang akhirnya akan membawa kepada pembasmian senjata nuklear secara aman di Semenanjung Korea.” – BERNAMA

