Saturday, July 27, 2024

Creating liberating content

Menteri Nafi Lulus AP...

SEREMBAN - Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar menafikan...

Hargai Dan Hormati Ibu...

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah agar semua pihak tanpa mengira...

Import Baharu JDT Rodríguez...

KUALA LUMPUR - Pemain import baharu Harimau Selatan, Patricio Julián Rodríguez tiba di...

Pemandu Kereta Rentung Nahas...

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu kereta rentung manakala pemandu bas ekspres bersama 10...

Ekspo Terengganu Hasil Komitmen Tinggi Semua Pihak

KUALA NERUS – Makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah. Itu pepatah yang sering dikaitkan dengan mereka yang ‘angau’ kerana bercinta.

Namun, pepatah itu juga paling sesuai untuk menggambarkan keadaan petugas di penganjuran Ekspo Terengganu 2018 yang berlangsung sejak 25 Feb lepas dan berakhir esok.

Diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, gerak kerja ekspo yang bermula sejak tiga bulan lepas bukanlah satu urusan yang mudah.

Ini kerana penganjuran ekspo itu adalah simbolik keterbukaan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam menerima kritikan membina terhadap prestasi Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

“Jika selama ini rakyat sering mendengar 1,001 cerita negatif dan tidak tepat mengenai BN Terengganu yang sering dilaungkan pembangkang, namun kali ini mereka mampu menilai sendiri prestasi kerajaan BN melalui kejayaan dicapai yang dipamerkan sepanjang ekspo tujuh hari itu berlangsung.

“Ekspo ini juga membuktikan keupayaan kerajaan meletakkan Terengganu di pentas global sebagai hab serantau bagi aktiviti perdagangan, industri, inovasi, pendidikan dan kemahiran bagi menonjolkan Terengganu sebagai salah sebuah negeri yang progresif di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Tengku Putera berkata hanya dalam masa tiga bulan, semua jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu berjaya merealisasikan penganjuran ekspo itu seperti yang dihasratkan menteri besar.

“Persiapan sangat teliti dilakukan bagi memastikan semua kejayaan dicapai 10 portfolio dalam kerajaan negeri dan GLC dapat dipersembahkan kepada pengunjung dalam pameran yang berbentuk informasi dan interaktif.

“Cabaran terbesar kami ialah bagaimana mahu memastikan setiap cerita kejayaan di Terengganu selama ini mampu difahami dan dihargai oleh pengunjung sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari tapak ekspo ini.

“Pengurusan hampir 3,000 petugas juga kami ambil berat kerana mereka ini berada di barisan hadapan untuk membantu melancarkan ekspo dan setakat ini alhamdulillah, semuanya berjalan sempurna…hanya beberapa rungutan kita terima daripada pengunjung, namun ia berjaya diselesaikan hasil kecekapan semua petugas di ekspo ini,” katanya.


Tengku Putera berkata ekspo itu adalah platform terbaik bagi kerajaan negeri serta agensi-agensi yang terbabit untuk menonjolkan Terengganu sebagai kuasa ekonomi yang menyumbang ke arah kemajuan negara.

“Di ekspo ini, kerajaan dapat menyampaikan maklumat yang tepat secara langsung kepada rakyat, terutamanya berkaitan dengan pencapaian semasa kerajaan negeri yang akan meningkatkan keyakinan dalam kalangan rakyat dan potensi pelaburan dari luar.

“Ekspo ini juga mengetengahkan pencapaian pembangunan infra dan sosioekonomi semasa kerajaan negeri dan perancangan bagi tempoh lima tahun akan datang serta usaha-usaha kerajaan negeri ke arah kerajaan yang moden dan berdaya saing,” katanya.

Ketua Bahagian Promosi dan Publisiti ekspo, Nuzulnisa Barudin berkata diberi tanggungjawab untuk mempromosikan ekspo tersebut bukanlah satu tugas yang mudah, malah ianya pasti tidak dapat dilaksanakan sekiranya tidak mempunyai kerjasama kuat daripada jawatankuasa tersebut.

“Sebelum ekspo ini berlangsung, kami dah bekerja lebih sebulan bagi meuar-uarkan pelbagai program yang dilaksana pada ekspo ini kepada rakyat. Pelbagai cara kami buat, selain melakukan hebahan menerusi televisyen, radio dan media sosial, bahagian promosi juga turut turun ke kampung-kampung bagi memastikan semua rakyat tahu mengenai ekspo ini.

“Sebelum gerak kerja promosi dilaksanakan, kita telah membuat rangka kerja bersama-sama jawatankuasa penganjur supaya apa yang direncanakan menjadi dan alhamdulillah, hasilnya dapat kita lihat hari ini, ekspo ini sememangnya diterima rakyat dan sambutannya memang luar biasa,” katanya.

Ekspo bertemakan #TerengganuMolekDoh itu menyasarkan 400,000 pengunjung. Ia merupakan ekspo berskala besar julung kali dianjurkan kerajaan negeri.

Sebanyak 33 gerai pameran dibuka melibatkan tiga kluster utama iaitu kerajaan negeri, daerah dan portfolio termasuk 14 GLC. – BERNAMA

Kategori