Monday, April 29, 2024

Creating liberating content

MH370: Pelancong Jumpa Objek...

KETIKA satu dunia sedang memberi tumpuan kepada penemuan sebahagian sayap pesawat dikenali sebagai flaperon...

Campak Ular: Jabatan Peguam...

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara akan menunggu hasil siasatan mengenai tindakan mencampak...

PM: Malaysia Amalkan Dasar...

Malaysia mengamalkan pendekatan dasar luar yang seimbang antara Barat dan Timur, selain mengelakkan...

Hina ATM: Yew Yin...

IPOH - Ahli perniagaan, Koon Yew Yin hadir ke Balai Polis Jelapang di...

Durian Turut ‘Meriahkan’ Hentian Bas

SERIAN – Durian berlonggokan dan bergantungan di hentian-hentian bas adalah sesuatu yang lazim dapat dilihat di sepanjang jalan utama dari Serian ke Kuching setiap kali tibanya musim durian mulai Disember sehinggalah pertengahan Januari tahun berikutnya.

Penduduk tempatan pasti akan ‘menawan’ hentian-hentian bas untuk menjual durian, rambutan, langsat dan buah-buahan lain yang diperoleh dari belakang rumah mereka.

Kebanyakan hentian bas terutamanya di sepanjang 32 kilometer pertama dari Serian ke Siburan akan berubah menjadi ‘gerai-gerai’ durian yang sibuk.

Sarawak memang dikenali dengan keenakan durian kampungnya, termasuk beberapa jenis yang tidak didapati di Semenanjung.

Selain itu, ada yang berniaga dengan cara melonggokkan durian di bawah payung, meletakkan di dalam but kenderaan, malah di dalam bakul di atas motosikal.

“Durian merah?” itulah soalan lazim yang ditanyakan rakan-rakan setiap kali penulis bercerita tentang musim durian di Serian. Sesungguhnya, walaupun saban tahun balik mengunjungi keluarga di sini, penulis belum pernah menemui durian merah.

Sebenarnya, difahamkan durian merah sukar didapati walaupun ianya dikatakan banyak terdapat di Sarawak. Malah, saudara-mara penulis yang telah seumur hidup di Sarawak pun belum pernah melihat durian seumpama itu.

DURIAN TANPA NAMA

Jika di Semenanjung, para penjual menggunakan lori untuk memuatkan ratusan biji durian untuk dijual, namun tidak di sini. Umumnya, longgokan durian agak kecil kerana kesemuanya adalah penjual kecil-kecilan. Ada yang menjaja tidak sampai 10 biji dan paling banyak pun tidak sampai 100 biji durian sahaja.

“Kami di sini berniaga sikit-sikit saja, buah-buahan dari belakang rumah, kami tak punya ladang,” kata Hanafi bin Bong Tidchin, 25, yang menjual durian di sebuah daripada hentian bas berhampiran pusat bandar Serian.

Hanafi menjual sembilan biji durian saiz agak besar bagi setiap longgok dengan harga RM65. Sesungguhnya, ia sangat murah bagi penulis kerana mustahil untuk membeli durian saiz sebegitu pada harga sama di Kuala Lumpur, malah jika dua biji durian D24 dengan saiz serupa pun mungkin melebihi RM100.

Usah ditanya jenis atau gred durian kerana jawapannya adalah: “Durian kampung, mana ada nama. Saiz dan isi nampak macam durian kahwin, walaupun tak kahwin. Tapi rasanya lebih sedap.

”Jadi, orang Semenanjung mesti datang Serian kalau mahu makan durian,” tambah beliau.

Rasa durian kampung di sini memang berbeza, walaupun ada yang kuning dan ada pula yang agak pucat sedikit, namun isinya lebih tebal dan lemak.

Daerah Serian adalah antara yang terkenal dengan keenakan durian di Sarawak. Malah, pada akhir tahun lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus mengumumkan mengenai penubuhan pusat pemerosesan dan pengumpulan durian dalam usaha menjadikan Serian sebagai hab durian.

TEMPOYAK DURIAN SEGAR

Walaupun penulis memberitahu bahawa sudah biasa makan durian di kebun saudara di Serian, Hanafi tetap mengopek sebiji lalu menghulurkannya sambil berkata: “Rasalah. Ini durian pokok saya. Tak beli pun tak mengapa. Sambil sembang kita makan.”

Sambil berbual, kelihatan sepasang suami isteri sedang mengopek sejumlah besar durian, mungkin dua atau tiga longgok. Isi durian dimasukkan ke dalam bekas plastik.

Hanafi memberitahu bahawa pasangan itu membeli durian untuk dibuat tempoyak.

“Durian segar untuk tempoyak?” tiba-tiba terpacul soalan itu dari mulut penulis.

Wanita yang peramah namun enggan dikenali itu menjelaskan bahawa, tempoyak daripada durian kampung yang segar adalah terbaik kerana lebih sedap dan tahan lebih lama.


Menurut wanita itu lagi, durian kahwin tidak sesuai disebabkan isinya banyak air dan akan menyebabkan tempoyak cepat rosak dan berbau busuk.

“Kami borong durian setiap hari untuk buat tempoyak. Boleh makan sampai musim tahun depan. Dua tiga tahun pun boleh tahan, tidak rosak,” tambahnya lalu menjelaskan bahawa tempoyak itu hanya untuk bekalan keluarga bukan dijual.

BANTU IBU BAPA

Hanafi yang berasal dari Kampung Ampungan, tidak jauh dari tempat beliau berniaga itu sebenarnya kini tinggal bersama-sama anak isterinya di Kampung Tabuan Melayu di Kuching.

Beliau yang bekerja sendiri akan berulang alik ke kampungnya setiap kali musim durian untuk membantu ibu bapanya menjual raja buah itu.

“Setiap hari, saya mula berniaga dari pukul 11 pagi dan selalunya selesai menjual sebelum pukul 5.00 petang,” jelas beliau sambil menambah bahawa hentian bas hanya sibuk pada waktu puncak di pagi hari.

Tiga puluh minit berbual, nyata Hanafi tidak sukar mendapat pelanggan. Dengan mudah sahaja beberapa longgok durian dijualnya.

Walaupun katanya berniaga kecil-kecilan, setidak-tidaknya enam longgok (54 biji) duriannya terjual, manakala rakannya pula sibuk mengeluarkan durian dari but kereta untuk dilonggokkan lagi.

BUAH DARI GUNUNG

Sementara itu, seorang lagi peniaga ‘bermusim’ yang menjual durian di hentian bas di sepanjang jalan utama itu ialah Eden Lisper, 28 tahun.

Beliau yang berasal dari Tarat di sini memberitahu bahawa buah-buahan yang dijual adalah hasil dari tanah keluarganya yang terletak di gunung berhampiran.

Duriannya dijual dengan harga RM35 untuk empat biji manakala rambutan pula RM3.00 seikat.

“Harga boleh runding. Durian Serian bukan saja lebih murah, tapi lebih sedap dari Kuala Lumpur,” katanya yang pernah tinggal dan bekerja di Pahang selama empat tahun.

Hanya buah yang baru gugur akan dijual, kerana menurut beliau, buah yang tidak habis dijual akan dijadikan tempoyak.

“Buah jatuh pagi tadi, saya jual hari ini, kalau tak habis emak buat tempoyak. Buah pecah (terbuka) tidak dijual. Esok jual buah baharu,” katanya yang selalunya melakukan kerja-kerja kontrak membina rumah.

Ditanya mengenai buah yang pecah, sambil tersenyum beliau berkata, “Buah yang rosak bukan untuk manusia makan.”

Apa pun yang dimaksudkan beliau, satu perkara yang pasti bagi penulis adalah, memang berbaloi setahun sekali ‘nait belon’ (naik kepal terbang) ke Sarawak hanya untuk makan durian beberapa hari. – BERNAMA

Kategori