BAGAIKAN satu penghargaan buat para wanita apabila semakin hari, semakin banyak nama golongan itu dipilih sebagai judul lagu bagi penyanyi tempatan.
Kali ini, giliran gadis bernama Salimah pula untuk bersorak gembira selepas lagu nyanyian asal Ryan Deedat mendapat sambutan hangat di Malaysia.

Bagi Ryan atau nama sebenarnya Sheikh Eamir Deedat, dia telah menyimpan hasrat yang tinggi untuk membawa lagu berkenaan ke peringkat yang lebih jauh kerana di dalam hidup ini, tiada apa yang mustahil.
Penyanyi berusa 26 tahun itu dikatakan mahu membawa muziknya ke Amerika Syarikat (AS) dan baginya, dia berasa yakin bahawa usahanya itu akan tercapai dengan adanya perancangan rapi serta dilakukan secara teliti.
“Saya sedar ramai yang ragu, malah menganggap harapan saya terlalu tinggi kerana mahu menembusi pasaran AS. Terserah kerana bagi saya, kita perlu berani menyahut cabaran.
“Disebabkan itu, saya memilih untuk menggabungkan elemen pop moden dan tradisi dalam Salimah. Jika lagu seperti Despacito berjaya melakar kejayaan, kita juga mampu melakukannya,” katanya dipetik daripada BH Online.

Sebelum ini, Ryan sudah enam tahun menceburi diri dalam industri muzik namun ketika itu dia masih bersama sebuah kumpulan rock alternatif.
Bagaimanapun, disebabkan rezekinya masih belum lagi bersinar ketika menjadi salah seorang anggota kumpulan rock berkenan, kini dia berlalih pula kepada kerjaya sebagai penyanyi solo.
Dalam masa yang sama, dia bersama komposer lagu Salimah iaitu Adam Armin telah mengadakan perbincangan bagi mencapai hasratnya untuk membawa Salimah ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya lagi, Adam kini sedang bekerja bersama dibawah label Sony Music di Los Angeles (L.A) serta dikhabarkan bahawa aliran muzik di sama lebih cenderung kepaada irama global seperti lagu Despacito.
Selain itu, Adam juga pernah terlibat dalam penghasilan lagu untuk Chris Brown, Sheryl Crow dan Cleydee.
Lagu Salimah telah menerima sebanyak hampir 150,000 tontonan di akaun YouTube dan manjadi antara lagu pilihan diputarkan di radio tempatan atas permintaan pendengar sendiri.

“Lagu ini akan dirakam dalam bahasa Latin dan Inggeris sebagai strategi pasaran antarabangsa. Setakat ini, Salimah mendapat sambutan yang baik di pasaran tempatan.
“Berdasarkan perbincangan awal, pengurusan di sana merancang untuk terlebih dulu memperkenalkan di Mexico dan Amerika Latin, sebelum dibawa ke AS. Saya hanya berdoa segala perancangan akan berjalan lancar,” tambahnya lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH