PORTFOLIO seni yang dimiliki pelakon, Bront Palarae nyata telah menjadikan dirinya antara salah seorang pelakon yang paling disegani dalam negara kita ketika ini.
Bagi pelakon yang kini sudah menginjak umur 40 tahun itu, usianya kini amat sesuai untuk berkelana ke luar negara bagi mengembangkan lagi bakat lakonannya.
Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, kini telah mula menarik minat penonton filem di Indonesia selepas beberapa lakonannya di negara jiran tersebut baru-baru ini.

Kini, Bront melebarkan sayapnya di Filipina apabila terlibat dalam sebuah filem berjudul Daddy’s Home di mana wataknya yang turut memerlukaannya berbahasa Tagalog.
“Alhamdulillah, saya bersyukur lakonan saya kini semakin mendapat perhatian di luar negara. Saya rasakan sekarang merupakan waktu yang sesuai.
“Jika saya mengembangkan bakat di luar negara pada usia yang muda, mungkin saya tak mempunyai pendedahan dan ilmu yang cukup mengenai cara kerja dan budaya mereka,” kata Bront dipetik portal Astro Gempak.
Jelas Bront, kerja yang dihasilkannya juga perlu berkualiti memandangkan secara tidak langsung dia membawa nama Malaysia ke negara orang.

Ujarnya, bekerja di luar negara ini bukanlah merupakan penamat kariernya sebaliknya ia merupakan salah satu cabaran yang ingin dilaluinya apabila bergelar seorang pelakon.
“Bekerja di luar negara bukan penamat untuk saya. Banyak lagi perkara yang saya harus terokai.
“Secara tidak langsung, saya membawa nama Malaysia dan mereka melihat cara kerja pelakon tempatan.
“Saya bersedia memberikan komitmen terbaik dalam setiap projek yang saya lakukan dan mahu memberikan kualiti dalam setiap watak yang saya bawakan,” katanya lagi.
Mengulas mengenai cabaran yang dilalui untuk bertutur dalam Tagalog, Bront berkata dia perlu berlatih selama 10 hari berbahasa Tagalog sebelum memulakan penggambaran.

“Penerbit memberikan saya beberapa bahan untuk saya belajar selain saya turut mempunyai seorang guru yang mengajar.
“Apabila saya perlu berbahasa Tagalog selama lapan jam sehari, saya hanya berkepit dengan guru saya itu selama 10 hari sebelum memulakan penggambaran,” ujar Bront.
Jelasnya terdapat sedikit persamaan antara Bahasa Melayu dan Tagalog yang memudahkannya untuk belajar dengan lebih cepat bahasa utama negara Filipina itu. – MYNEWSHUB.CC/EZ