KUALA LUMPUR — Bank Negara Malaysia (BNM) menggalakkan orang ramai agar mendaftar ke Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat dalam talian (eCCRIS) bagi membolehkan mereka mengakses laporan peribadi kedudukan kredit mereka pada bila-bila masa.
BNM memperkenalkan eCCRIS pada 19 Januari, 2018, dan laporan kredit boleh diakses menerusi laman sesawang di http://eccris.bnm.gov.my secara percuma.
Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan BNM, Qaiser Iskandar Anwaruddin, berkata laporan CCRIS akan menunjukkan sejarah rekod pembayaran balik pinjaman peminjam dengan 75 institusi kewangan yang mengambil bahagian, termasuk bank, syarikat insurans serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dalam tempoh 12 bulan lepas.
“Laporan itu tidak memberikan penilaian kedudukan kredit seseorang peminjam. Oleh itu Ia adalah laporan fakta dan bukan senarai hitam,” katanya pada taklimat media mengenai eCCRIS, di sini, hari ini.
Qaiser berkata eCCRIS akan membolehkan orang ramai mengawal kewangan mereka kerana mereka diberi kuasa untuk bertanggungjawab dan menambah baik terhadap kedudukan kredit mereka sendiri, yang akan membantu membawa membuat keputusan kewangan lebih bertanggungjawab.
Beliau berkata kekerapan memeriksa laporan CCRIS juga akan membantu pengguna mengesan aktiviti penipuan dan menghalang pencurian identiti.
“Dengan eCCRIS, pengguna boleh mengemukakan permintaan pengesahan data secara terus kepada institusi kewangan untuk mengesahkan dan membetulkan mana-mana perkara yang tidak tepat yang dikenal pasti dalam laporan mereka.
“CCRIS diuruskan oleh Biro Kredit BNM dan terdapat juga agensi pelaporan swasta seperti Credit Tip Off Service, Credit Bureau of Malaysia yang berada di bawah pengawasan Pendaftar Kredit,” katanya.
Sementara itu, Pengarah LINK dan Pejabat BNM, Datin Arlina Ariff, berkata setakat 13 Mac tahun ini terdapat 45,350 pengguna berdaftar di seluruh negara yang merupakan purata kira-kira 889 sehari.
Beliau berkata maklum balas setakat ini adalah positif dan menggalakkan.
“Sebelum mengakses laman sesawang itu, individu perlu terlebih dahulu pergi ke pejabat BNM, atau cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendaftar dan mengesahkan identiti mereka menggunakan MyKad dan mendaftarkan nombor telefon mudah alih yang sah di mana nombor pengenalan peribadi enam angka akan dihantar kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata BNM juga akan meneruskan kempennya di pelbagai acara awam bagi mendekati orang ramai untuk mendidik mereka mendaftar dengan mudah eCCRIS.
Arlina berkata laporan CCRIS diserahkan dan dikemas kini oleh institusi kewangan yang menyertainya dan bukan dilakukan oleh BNM dan biasanya pada setiap bulan kerana status yang dikemas kini akan mengambil masa, sebagai contoh pinjaman, yang telah selesai dibayar, akan mempunyai beberapa selang sebelum ia lenyap daripada laporan.
Menurutnya, penolakan pinjaman bukan disebabkan rekod dalam BNM kerana keputusan kredit dibuat sepenuhnya oleh institusi kewangan yang menyertainya bergantung kepada risiko.
“Laporan CCRIS hanya disediakan bagi individu yang memiliki laporan itu, ia tidak akan disediakan kepada mana-mana pihak lain seperti majikan melainkan dengan kehadiran individu terbabit,” katanya.
Arlina berkata sekiranya berlaku kematian, bagi ahli keluarga yang mahu mengetahui obligasi kredit si mati, mereka perlu mempunyai surat pentadbiran yang disahkan kerana BNM tidak akan melayan sebarang permintaan daripada orang-orang yang tidak dibenarkan. — BERNAMA

