GUA MUSANG – Barisan Nasional (BN) mampu membawa banyak perubahan termasuk menyediakan peluang pekerjaan seperti yang dikehendaki anak muda kelahiran Kelantan sekiranya ia kembali menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau menerima banyak rungutan daripada golongan muda Kelantan yang mahu pulang mencurahkan bakti kepada negeri ini namun gagal berbuat demikian kerana peluang pekerjaan yang terhad.
“Golongan muda sedia pulang dan berkhidmat di Kelantan jika wujud peluang pekerjaan…melihat kepada itu, kita yakin BN boleh menang di Kelantan.
“Hanya kita (BN) yang boleh membawa perubahan untuk faedah semua rakyat,” kata bekas Menteri Kewangan itu.
Beliau memberitahu pemberita demikian semasa ditemui pada majlis perasmian Bangunan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Sungai Terah di sini, hari ini.
Hadir sama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof dan Pengarah KEMAS Kelantan Anuar Mat Zain.
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata dengan PAS kini dalam keadaan lemah selepas ia mengalami perpecahan sehingga ‘melahirkan’ Parti Amanah Negara (Amanah), BN mempunyai peluang besar untuk menawan kembali Kelantan.
“Baru-baru ini saya dijemput hadir dalam perjumpaan Jawatan Kuasa Perhubungan UMNO Kelantan di Kuala Lumpur, yang turut dihadiri Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya diminta untuk membantu pemimpin di Kelantan supaya mengambil kesempatan terhadap kelemahan PAS ketika ini bagi mengembalikan Kelantan ke tangan BN…ia peluang besar bagi kita (BN),” katanya. – BERNAMA