• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Sunday, May 10, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Awang: Disangka Komunis Kerana Orang Ijok

oleh
30/03/2018
dalam Gaya Hidup, Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

TELINGA Awang tiba-tiba sahaja berdesing. Mukanya berubah menjadi merah sebaik mendengar pertanyaan seorang jurulatih ketika melaporkan diri ke Pusat Latihan Rekrut di Port Dickson.

Sakit hati dan geram pun ada. Namun, disabarkan juga hatinya demi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Masih terngiang-ngiang lagi Awang kata-kata jurulatih tersebut sehingga kini.

”Awak ni komunis ke? Bukan ke orang Ijok ramai masuk komunis?” kata jurulatih tersebut.

”Saya orang kampung. Saya tak ada kaitan langsung dengan komunis. Saya lawan komunis adalah,” balas Awang atau nama sebenarnya Awang Ahmad Yaacob.

Jawapan beliau itu menyebabkan jurulatih tersebut terdiam. Tiada lagi soalan tambahan darinya.

Melihat itu, Awang sedikit tenteram. Jika ada pertanyaan lanjut tentang itu, mungkin kemarahannya akan memuncak.

Baginya soalan tersebut cukup sensitif. Biarpun benar pada waktu itu ramai orang Ijok menjadi komunis, namun beliau dan ahli keluarganya tidak pernah terlibat dengan perjuangan pengganas meskipun kenal siapa yang menyertai komunis di tempatnya.

Malah kerana tidak setuju dengan kekejaman dan keganasan yang dilakukan komunis jugalah, maka Awang telah mula mengangkat senjata pada usia 18 tahun untuk menjaga kampungnya – Kampung Saga, Ijok, Perak – daripada serangan komunis.

”Teringat tentang itu nak tergelak pun ada. Masa itu saya sering diarah berkawal malam dengan tiga rakan hampir sebaya di masjid. Kami dibekalkan dengan senapang patah.

”Nasib baik komunis tak pernah serang. Jika tidak nahas kerana saya tak tahu menembak. Cara nak gunakan senapang patah pun tak tahu kerana tak pernah diajar,” ujarnya.

Menurut Awang, kampungnya tidak pernah diserang pengganas komunis mungkin kerana komunis bermusuh dengan British, bukan dengan orang Melayu atau orang kampung.

Bagaimanapun, tindakan pengganas komunis membakar sebuah sekolah di Ijok, Perak pada penghujung tahun 40-an menyebabkan Awang tidak senang dengan perjuangan mereka.

Disebabkan itu jugalah, beliau akhirnya memohon menyertai Rejimen Askar Melayu pada usia 19 tahun dan berjaya.

Pada 1 Ogos 1951, beliau pun melapor diri dan diberi nombor tentera 8842. Tak sangka akan keluar soalan tersebut dari jurulatih yang tidak lagi diingati namanya.

Walaupun begitu Awang tidak menyalahkan jurulatihnya itu. Maklumlah masa itu, Ijok memang diketahui terdapat ramai komunis.

Selepas tentera dihantar ke Ijok pada awal tahun 50-an, barulah daerah tersebut aman dari gangguan petualang negara tersebut.

Ekoran sikap sabarnya itu, akhirnya Awang diterima menyertai Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu pada 14 Ogos 1951 dan menjalani latihan intensif selama enam bulan.

Tiger Section Operation

Pada 2 Mac 1952, beliau ditempatkan di Platun Lapan, Kompeni C, Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu di Kem Taiping, Perak.

Operasi pertamanya ialah pada tahun 1953 di Tapah. Sejak itu juga, kehidupannya banyak dihabiskan dengan memburu komunis sekitar Perak terutama di Teluk Intan dan Sungai Siput.

Kerap juga operasi yang digelar Tiger Section Operation itu berakhir dengan pertempuran. Jika bertempur, paling tidak seorang musuh pasti dapat ditewaskan oleh pasukannya.

Walaupun telah beberapa kali bertempur dengan komunis, namun Awang tidak pernah cedera.

Tetapi, dalam operasi memburu pengganas komunis yang diketuai oleh Kapten Perma, bekas pegawai tentera British yang berpaling tadah di sebuah bukit di Ulu Chemor pada 5 September 1955, keadaan yang berlainan dialami olehnya.

Awang memang ingat tarikh tersebut kerana ia membawa tragedi dalam hidupnya.

Waktu itu, platunnya seramai 20 orang memulakan penjejakan pada pukul 4 pagi dari Ladang Kantan Chemor dengan berjalan kaki menuju ke tempat yang disyaki.

Kira-kira pukul 6.30 pagi, mereka berhenti rehat di tepi Sungai Chemor sambil menyediakan sarapan pagi.

Setengah jam kemudian, barulah pergerakan diteruskan dengan menyeberangi sungai tersebut.

Seksyen pertama yang berada di depan sekali tidak menghadapi masalah untuk tiba di tebing sebelah sungai yang selebar kira-kira 15 meter.

Bagaimanapun, sebaik anggota seksyen kedua memasuki sungai, tanpa diduga mereka dihujani tembakan musuh.

Tembakan bertubi-tubi yang dilepaskan daripada tiga penjuru itu menyebabkan seramai 10 anggota tentera yang berada dalam sungai termasuk Awang terperangkap dan terpaksa mencari perlindungan di celah-celah batu.

”Masa serangan bermula, saya sedang duduk di atas batu dalam sungai. Saya nampak dengan jelas beberapa tembakan musuh singgah beberapa inci di depan saya,” ujar Awang.

Meskipun ada musuh menembaknya dari jarak kira-kira 20 meter di depannya, namun tiada peluru musuh yang dapat menjamah tubuhnya.

Dalam tempoh itu juga, Awang sempat membalas tembakan musuh sehinggalah 10 minit kemudian.

Ketika hendak menukar kelompak senjata Sterling yang digunakan, tiba-tiba sahaja beliau menjadi sasaran utama musuh.

“Peluru datang dari pelbagai arah. Mula-mula terkena tangan kiri saya, lepas itu kedua-dua pangkal paha dan kemudian mencalarkan perut saya.

“Lepas itu saya rasa sakit yang amat sangat dan kemudian dunia menjadi gelap,” ujar beliau.

Sebaik terpandang balutan, saya jadi macam orang hilang ingatan. Saya menjerit dan menangis sekuat-kuat hati apabila mendapati tangan saya telah dipotong.

Hilang Tangan Kiri

Sebaik tersedar pada lewat petang esoknya, Awang mendapati dirinya telah berada di Hospital Ipoh.

Kemudian diraba pahanya dengan tangan kanan. Didapati anggota tubuhnya itu berbalut.

Apabila tangan kanannya mahu memegang tangan kirinya yang diketahui cedera ditembak musuh, Awang terasa lain macam.

Tiada sebarang balutan ditemuinya biarpun terasa amat sakit.

Apabila diraba ke arah pangkal lengan, baru dirasanya ada balutan.

Untuk kepastian Awang memaksa matanya melihat tangan kirinya itu.

“Sebaik terpandang balutan, saya jadi macam orang hilang ingatan. Saya menjerit dan menangis sekuat-kuat hati apabila mendapati tangan saya telah dipotong,” katanya.

Hatinya bertambah berkecamuk, apabila memikirkan masa depannya.

Dengan isteri yang baru tiga bulan dikahwininya, Awang bimbang kerjayanya akan berakhir di situ.

Waktu itu jugalah puas pegawai atasan, rakan-rakan dan sanak-saudara yang melawatnya menasihatkan beliau agar bersabar.

Lama-kelamaan, beliau terpengaruh juga dengan pujukan mereka.

Awang juga merasakan hidupnya kembali bersinar selepas mengetahui kerjayanya sebagai tentera akan diteruskan. Beliau juga memanjat kesyukuran kerana tidak terkorban. Maklumlah dalam serang hendap pengganas komunis selama sejam itu, tiga rakannya terbunuh manakala sembilan yang lain cedera termasuk Awang.

Bagaimanapun, empat pengganas komunis berjaya dibunuh oleh pasukannya.

Selepas menerima rawatan selama sebulan di Hospital Ipoh, beliau dipindahkan pula ke Hospital Taiping dan berada di sana selama tiga bulan.

Apabila telah sihat, Awang ditukarkan ke Pejabat Rekod Pusat Latihan Darat di Port Dickson sehingga November 1957, diikuti ke Jabatanarah Rekod dan Pencen di Kementerian Pertahanan sehingga bersara dengan pangkat Koperal pada 30 Januari 1983.

Persaraannya turut melakarkan sejarah tersendiri dalam Tentera Darat kerana Awang merupakan antara anggota lain-lain pangkat yang berkhidmat paling lama dalam sejarah pasukan itu iaitu selama 31 tahun sehingga berusia 50 tahun. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Tags: Awang Ahmad YaacobDatuk Akmar Hisham MokhlesKomunisRejimen Askar Melayu
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Tiada Elemen Negatif, Sensitif Dalam Buku Tentang Shamsiah Fakeh – Aminuddin

Tiada Elemen Negatif, Sensitif Dalam Buku Tentang Shamsiah Fakeh – Aminuddin

17/04/2026
0

KUALA LUMPUR - Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya mendakwa tiada elemen negatif dan sensitif dalam dua buah buka yang mengisahkan...

Suami Isteri Beri Keterangan Mengenai Karikatur Komunis

13/01/2021
0

GEORGETOWN - Pasangan suami isteri yang mempamerkan karikatur wajah pemimpin komunis di restoran milik mereka tampil ke Ibu Pejabat Daerah...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd