KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang akauntan wanita berumur 42 tahun bagi membantu siasatan kes penipuan sewa rumah dan bilik sewa yang bergiat aktif sejak Januari lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ruslan Khalid berkata wanita tempatan itu ditahan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di Puchong Prima dekat sini pada 8.30 malam Sabtu lepas.
“Setakat ini, polis telah menerima sebanyak 11 laporan mangsa dari Brickfields, Cheras, Puchong serta mangsa di Johor dan Perak yang melibatkan kerugian kira-kira RM25,450,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati modus operandi suspek ialah memuat naik iklan rumah atau bilik sewa dalam satu laman sesawang sebelum membawa mangsa yang berminat untuk mencari rumah atau bilik sewa ke lokasi yang kononnya ingin disewakan.
“Suspek mengaku rumah itu merupakan miliknya sedangkan sebenarnya rumah tersebut disewa oleh suspek.
“Setelah mangsa berpuas hati dan bersetuju dengan harga yang ditawarkan, suspek meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank sebagai bayaran deposit dan memberi tarikh kepada mangsa untuk berpindah masuk,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata setelah wang deposit dimasukkan, suspek menghilangkan diri dan gagal dihubungi mangsa dan mangsa juga mendapati rumah atau bilik yang ingin disewa, kosong dan tidak dapat dimasuki.
Ruslan berkata orang ramai yang pernah diperdaya oleh suspek diminta membuat laporan polis.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh dijatuhkan hukuman minimum penjara setahun dan maksimum 10 tahun selain boleh dikenakan denda serta sebat jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA