KUCHING – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini petang ini bagi menghadiri mesyuarat dengan Polis DiRaja Malaysia Sarawak esok.
Pesawat khas yang membawa Ahmad Zahid dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis mendarat pada 4.57 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Ketibaan mereka disambut oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Sim Kui Hian dan isteri, Datin Enn Ong Siok Ean.
Esok, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dijadual mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Polis Negeri Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini.
Selepas itu, beliau dijadual menghadiri majlis makan tengah hari di kediaman Sim sebelum pulang ke ibu negara. – BERNAMA

