KUALA LUMPUR – Sebanyak lima lagi premis perniagaan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) dirancang dibuka di seluruh negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata setakat ini, terdapat 82 premis perniagaan Pernama yang dibuka terutamanya di dalam kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya Pernama yang menawarkan produk dengan harga 35 hingga 45 peratus lebih murah menerima sambutan memberangsangkan dan ada keperluan serta permintaan untuk diteruskan.
Sebagai rekod, katanya pada Disember 2017, Pernama mencatatkan jualan runcit dan keperluan harian sebanyak RM3 juta, dan jumlah itu meningkat kepada RM3.1 juta pada Januari lepas.
“ Kalau nak banding Oktober dan November tahun lepas jualannya hanya RM1.9 juta sebulan, kita nampak peningkatan hasil jualan sebanyak 37.7 peratus dengan perbezaan hasil jualan meningkat RM2.3 juta,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang ingin tahu perkembangan terkini transformasi dilaksanakan Pernama dalam membantu menangani peningkatan kos sara hidup dihadapi anggota ATM dan veteran.
Mengulas lanjut mengenai transformasi Pernama, Hishammuddin berkata ia melibatkan 513 jenis produk yang dijual lebih murah daripada harga pasaran termasuk barangan keperluan asas seperti gula, beras dan minyak masak.
Selain itu, Pernama turut menjual pakaian persekolahan dengan penurunan harga sehingga 45 peratus dan dijual dengan konsep ‘beli sepasang, percuma sepasang’.
Katanya inisiatif lain yang diperkenalkan Pernama merangkumi kad pelbagai guna yang dikenali Capasa (Care for Partner Satisfaction) yang boleh digunakan sebagai pengenalan diri untuk semua anggota bagi pembelian produk di premis berkenaan.
“Melalui kad eksklusif Capasa, pengguna dapat menikmati pelbagai keistimewaan seperti mengumpul mata ganjaran setiap kali berbelanja dan menebusnya dengan hadiah yang ditawarkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Katanya Pernama yang diwujudkan pada 1983 memberi manfaat kepada lebih 300,000 anggota ATM, veteran dan keluarga mereka.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berkenaan langkah kerajaan bagi berdepan dengan ekonomi dan keusahawanan digital, Hishammuddin berkata setakat ini sebanyak 1,645 veteran ATM telah dilatih oleh Pernama untuk menceburi bidang keusahawanan dan peniagaan di Akademi Peruncitan Pernama. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..
