AMMAN – Mahkamah keselamatan negara kendalian tentera Jordan telah menjatuhkan hukuman penjara antara 18 bulan hingga seumur hidup ke atas lebih 31 individu dalam 16 kes berkaitan keganasan, iaitu cuba melancarkan serangan terhadap sasaran asing dan tempatan, atau beroperasi di bawah bendera kumpulan militan Daesh, kata sumber kehakiman pada Khamis.
Beberapa kes membabitkan percubaan meletupkan kedutaan Israel, Rusia dan Iran manakala yang lain berkaitan serangan terancang terhadap tentera Israeli di Tebing Barat, lapor agensi berita Itali ANSA.
Kes paling banyak membabitkan pertuduhan menyebarkan ideologi keganasan, yang boleh dihukum penjara antara empat dan 15 tahun, menurut agensi berita Petra.
Kumpulan hak asasi manusia dan Majlis Peguam Jordan (JBA) telah bertelagah dengan pihak berkuasa berhubung bidang kuasa mahkamah keselamatan negara, yang sering mengemukakan dakwaan menggunakan pengakuan yang diperoleh di bawah tekanan sebagai bukti sah.
Sebagai tanda protes, JBA ketika ini melarang anggotanya mewakili pelanggan di mahkamah itu, yang kini dikendali oleh dua hakim tentera dan seorang hakim awam.
JBA mendakwa kerajaan dan pasukan keselamatan termasuk jabatan risikan seringkali menggunakan undang-undang antikeganasan dalam kes-kes kebebasan bersuara yang menyaksikan beratus-ratus rakyat meringkuk dalam penjara kerana mendesak perubahan di negara yang dilanda gejala rasuah itu selain kemiskinan semakin meningkat.
Majlis peguam itu mendesak kerajaan membebaskan berpuluh-puluh peguam yang ditahan, berhenti merujuk penunjuk perasaan ke mahkamah keselamatan negara dan tidak menggunakan undang-undang antikeganasan terhadap mereka. – BERNAMA