BANGKOK – Seramai 21 pekerja asing Myanmar rentung selepas bas dua tingkat dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan pada awal pagi tadi di wilayah Tak, selatan Thailand.
Menurut pasukan penyelamat tempatan, 27 pekerja lagi yang menaiki bas itu terselamat dalam kejadian 1 pagi (waktu tempatan) di Km 60 Lebuhraya 12 berdekatan Taman Negara Thaksin Maharat.
Wilayah Tak terletak berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.
Semasa kejadian, bas dua tingkat itu yang membawa kira-kira 50 pekerja asing Myanmar dari wilayah Mae Sot sedang dalam perjalanan ke taman perindustrian di Pathum Thani di tengah Thailand.
Laporan awal mengatakan kebakaran bermula dari bahagian tengah bas dan merebak cepat ke seluruh kenderaan itu, menyebabkan penumpang yang duduk di bahagian belakang terperangkap.
Agensi antarabangsa menganggarkan kira-kira 4.5 pekerja asing terutama dari Myanmar, Laos dan Kemboja bekerja di negara ekonomi kedua terbesar ASEAN ini.
Kejadian ini merupakan kemalangan jalan raya kedua melibatkan bas dua tingkat di negara ini, selepas 18 penumpang bas jenis sama terbunuh apabila kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Nakhon Ratchasima, timur laut Thailand, lebih seminggu lepas.
Mangsa merupakan pelancong tempatan yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka di Kalasin selepas bercuti di wilayah Chantaburi apabila kemalangan itu berlaku.
Jalan raya Thailand adalah antara yang paling berbahaya di dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – BERNAMA