KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan siri operasi dijalankan terhadap kenderaan berat yang memasuki ibu kota pada waktu puncak bagi tempoh dua bulan lepas dengan 175 notis kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr M. Loga Bala berkata sepanjang tahun lepas pula, sebanyak 44 siri operasi dilaksanakan dengan 1,189 notis kompaun dikeluarkan.
“Perkara ini (kemasukan kenderaan berat) berlaku disebabkan keperluan bagi pembangunan projek-projek mega yang sedang berlangsung di dalam ibu negara selaras dengan hasrat kerajaan untuk merealisasikan bandar raya Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia.
“DBKL bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Trafik, Jabatan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat menerusi Operasi Bersih secara berkala bermula pukul 7 pagi hingga 9.30 pagi dan dari 4.30 petang hingga 7 malam,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya.
Beliau berkata DBKL telah mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi tumpuan kenderaan berat seperti Jalan Kuching, Lebuhraya Bukit Jalil, Jalan Klang Lama, Jalan Loke Yew dan Lebuhraya Sungai Besi.
Katanya operasi berkenaan merupakan tindakan penguatkuasaan ke atas lori yang membawa muatan bahan binaan seperti tanah, simen, pasir dan batu kerana tidak mengambil langkah keselamatan terhadap pengguna jalan raya serta mengotorkan jalan raya.
Sementara itu, Loga Bala berkata DBKL telah menyediakan garis panduan Permohonan Lesen Premis Perniagaan oleh Warganegara Asing bagi mengawal penglibatan warga asing secara bebas dalam perniagaan di negara ini, namun mengesahkan tiada sebarang lesen penjaja dikeluarkan kepada warga asing di ibu negara pada masa ini. – BERNAMA

