KUCHING – Lima belas Pasukan Bertindak Kecemasan Komuniti (CERT) di Sarawak hari ini masing-masing menerima sebuah enjin pam api mudah alih bagi membantu pasukan penyelamat dan agensi bantuan kecemasan mencegah kebakaran.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pam api mudah alih tersebut membolehkan masyarakat setempat bertindak serta merta dan menjadi orang pertama menstabilkan keadaan di tempat kejadian sementara menunggu ketibaan agensi bantuan khususnya di kawasan pedalaman.
Lima belas pasukan CERT ialah dari kawasan Batu Kawa, Simpok, Senah, Rayang, Bunan Gega, Buntal, Sebuyau, Tanjung Engkabang di Sri Aman; Engkelili, Debak, Sungai Jih di Kanowit; Kemunting dan Jepak di Bintulu, Belaga, Nanga Medamit di Limbang serta Long Sukang di Lawas
“Bencana kebakaran memang selalu berlaku di negeri ini, mengikut laporan yang saya terima dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak kerugian yang kita alami dari bencana ini hampir mencecah RM100 juta pada tahun 2016 dan 2017,” katanya.
Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan 15 unit enjin pam api mudah alih tersebut di sini hari ini.
Pasukan CERT merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam memberi kesedaran kepada komuniti atau masyarakat tentang berbagai jenis kecemasan atau bencana yang mungkin berlaku di kawasan setempat. – BERNAMA