SERDANG – Warga kerja Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berperanan untuk menyebarkan maklumat yang tepat tentang inisiatif kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dari semasa ke semasa di media sosial, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata warga kerja KKLW perlu mengelak daripada menjadi penyebar berita palsu dan fitnah dengan sentiasa berhati-hati, menapis dan menilai setiap berita yang diterima di media sosial.
“KKLW salah satu kementerian yang paling hampir dengan rakyat. Oleh itu para pegawai di agensi dan jabatan di bawah KKLW merupakan barisan hadapan kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KKLW Zon Semenanjung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata KKLW menjaga kebajikan lebih setengah juta pekebun kecil di seluruh negara, dan golongan itu bergantung untuk mendapatkan baja dan khidmat nasihat manakala agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) pula merupakan tempat untuk usahawan mendapatkan pinjaman. – BERNAMA