SEKUMPULAN remaja hanya mengambil masa kurang seminit untuk melarikan sebuah mesin wang dalam satu kejadian samun di sebuah restoran nasi kandar di Pinggiran Batu Caves, Selangor.
Dalam insiden kira-kira pukul 6.30 pagi Isnin, empat remaja lelaki bersenjatakan parang dilihat menaiki dua motosikal jenis Yamaha Y15zr berwarna biru dan hitam sebelum dua daripada mereka masuk ke dalam kedai.
Salah seorang daripadanya terus menuju ke kaunter premis makanan tersebut dan cuba merampas mesin wang, namun ia didapati berkunci dengan sejenis mangga yang diikat bersama-sama seutas tali jenis dawai besi.
Suspek yang bertopi keledar hitam itu kemudian terus merentap tali berkenaan dengan parang manakala seorang lagi cuba menghunuskan senjata kepada pekerja dan para pengunjung.
Mereka kemudiannya terus cabut lari dengan membonceng motosikal dua lagi rakan suspek yang menunggu di luar.
Kejadian cemas yang berlaku pada awal pagi itu berjaya dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan yang kemudiannya menjadi tular di laman sosial.
Sehingga kini, netizen di media sosial khasnya penduduk Gombak mendesak agar pihak berkuasa memperbanyakkan rondaan di kawasan-kawasan yang berisiko dan terpencil seperti di lokasi kejadian.
“Berani betul budak-budak sekarang, hanya kerana beberapa ringgit, sanggup hadap penjara 5-7 tahun,” tulis seorang netizen. – MYNEWSHUB.CC