KUANTAN – Amalan kunjung mengunjungi dan rumah terbuka setiap kali menjelang musim perayaan dapat mengeratkan lagi hubungan antara kaum di negara ini.
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah amalan itu patut diteruskan dan diperkukuh termasuk dalam kalangan generasi muda bagi membolehkan rakyat terus hidup aman dan harmoni.
“Inilah amalan yang harus kita panjangkan untuk generasi akan datang, ia dapat menyatukan silaturahim antara kaum di negara dan secara tidak langsung akan membolehkan rakyat di negara ini dan Pahang khasnya hidup aman.
“Kita tidak mahu sifat kata-mengata dan memburukkan antara satu sama lain…ini tidak baik,” titah baginda kepada pemberita selepas berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina LLT Group di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Urusan LLT Group Malaysia Sdn Bhd Liew Leong Tat selain 300 tetamu. – BERNAMA