KUALA TERENGGANU – ‘Terengganu Molek Doh’ – Bukan sekadar tema biasa tetapi suatu yang amat istimewa bakal dinikmati rakyat sepanjang Ekspo Terengganu 2018 bermula semalam hingga 3 Mac.
Slogan tersebut telah bergema di seluruh pelusuk negeri itu termasuk majlis rasmi kerajaan negeri dan turut menjadi siulan anak muda dari Kemaman hinggalah ke Besut.
Namun, ramai yang tidak menyedari, slogan itu sebenarnya idea Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman setelah melihat perkembangan semasa akhir-akhir ini.
Malah, penggunaan ‘hashtag’ (tanda pagar), #TerengganuMolekDoh, juga kini dilihat semakin banyak dipakai netizen di laman sosial termasuk Facebook, Instagram dan aplikasi Whatsapp.
Ahmad Razif berkata Terengganu Molek Doh juga dipilih sebagai slogan khas untuk Barisan Nasional (BN) di negeri itu dalam menghadapi pilihanraya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.
“Terengganu Molek Doh bukanlah bermaksud rakyat negeri ini perlu berpuas hati dengan apa yang ada, tetapi ia adalah tanda kesyukuran yang perlu dizahirkan agar Allah menambahkan lagi nikmat kepada kita.
“Ia adalah sebagai tanda syukur kita yang telah mengecap nikmat keamanan dan kemakmuran yang ada selama ini. Sudah pastilah nikmat itu antara lainnya diperoleh hasil kecemerlangan pentadbiran BN di Terengganu selama ini,” katanya.
Beliau berkata Terengganu Molek Doh juga adalah simbolik betapa bertuahnya rakyat Terengganu kerana tidak semua negeri berjaya menyalurkan pelbagai dana bantuan kepada rakyatnya seperti yang dilakukan Terengganu.
“Setiap negeri ada mekanisme tertentu untuk memastikan kebajikan rakyat mereka terbela, namun saya cukup yakin hanya rakyat Terengganu paling istimewa kerana bantuan merangkumi semua aspek dan tidak mempunyai batas usia, apatah lagi perbezaan bangsa.
“Di sini, rakyat yang layak akan menerima dana hari raya untuk Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Masuk sahaja musim persekolahan, keluarga yang susah akan dibantu melalui bantuan pakaian persekolahan.
“Kecemerlangan pendidikan juga diberi pengiktirafan tertinggi. Anak-anak kita yang cemerlang dalam semua peperiksaan utama negara diraikan dan diberikan insentif wang selain Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Itu belum lagi bantuan yang kita beri untuk perumahan, pesakit kronik, bantuan ibu tunggal dan usahawan,” katanya.
Jika selama ini Terengganu dilihat mampu memberi ‘kemewahan’ kepada rakyatnya melalui pelbagai dana kerana sumber kewangan yang sangat banyak hasil royalti minyak, Ahmad Razif berjaya membuktikan anggapan itu salah dan tidak tepat sama sekali.
“Saya mengambil alih kepimpinan negeri dalam keadaan politik yang tidak berapa stabil, disusuli kegawatan ekonomi dan penurunan harga minyak sangat memberi kesan besar kepada kewangan negeri.
“Namun, apa pilihan yang saya ada? Jalan sahaja ke depan untuk menghadapi segala onak dan duri atau berpatah balik ke belakang.
“Demi amanah kepimpinan ini, saya harungi juga segala ujian itu dan kepimpinan negeri bersama-sama memastikan bantuan untuk rakyat tetap disalurkan seperti sedia ada walaupun terdapat kekangan dari segi kewangan.
“Sejak itu, kita menggalakkan konsep kerjasama strategik dengan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dan mana-mana syarikat korporat atau individu untuk membantu melalui penubuhan tabung agar bantuan tetap dinikmati dan lebih banyak kisah kejayaan mampu kita genggami,” katanya.
Justeru, penganjuran ekspo selama tujuh hari itu adalah sangat bertepatan dengan tema Terengganu Molek Doh kerana 1001 kisah kejayaan pentadbiran kerajaan akan dipamerkan kepada orang ramai.
“Mungkin selama ini, ada yang terlepas pandang kisah-kisah kejayaan yang berjaya rakyat Terengganu lakarkan bukan sahaja di peringkat negeri atau peringkat kebangsaan, malah kejayaan dicapai adalah yang paling cemerlang di peringkat dunia.
“Itu yang berlaku kepada rakyat Terengganu yang membanting tulang, bekerja keras memerah keringat dan idea untuk muncul yang terbaik dalam bidang sukan, pendidikan, perniagaan dan kerja-kerja amal kebajikan,” katanya.
Mengimbas semula idea asal penganjuran ekspo itu, Ahmad Razif berkata ia bermula sejak tiga bulan lalu setelah beliau memikirkan perlu ada platform yang boleh merapatkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dengan rakyat.
“Platform yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak agar saling memahami dan saling melengkapi antara satu sama lain ke arah masa depan yang lebih baik.
“Hanya dengan hadir ke ekspo ini, rakyat akan menilai prestasi dan fahami hala tuju BN dalam mentadbir Terengganu, seterusnya menjadi titik permulaan untuk rakyat bersama-sama menyokong ke arah Terengganu yang lebih maju mengikut acuan kita sendiri,” katanya. – BERNAMA