PUTRAJAYA – Suruhanjaya Tenaga (ST) merampas 187 unit kipas siling bernilai RM100,000 di sebuah gudang di Ampang, Selangor pada 25 Jan lepas kerana tidak mempunyai Perakuan Kelulusan (CoA), rampasan terbesar suruhanjaya itu dalam tempoh lima tahun.
Suruhanjaya itu dalam kenyataannya hari ini berkata rampasan kipas siling berjenama Franco itu dijalankan susulan aduan diterima daripada orang awam.
Menurut ST, di bawah Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, semua barangan kelengkapan elektrik yang dikawal di negara ini diwajibkan mendapatkan CoA sebelum ia dikilang, diimport, dipamer, dijual atau diiklankan bagi menjamin keselamatan pengguna.
“Selepas CoA dikeluarkan, kelengkapan elektrik terbabit yang dikawal diwajibkan melalui ujian di SIRIM Bhd dan seterusnya hendaklah dilabel dengan SIRIM-ST sebelum ia boleh dijual,” katanya.
Ketika ini, terdapat 34 jenis kelengkapan elektrik di bawah kawalan ST termasuk soket, lampu, cerek air, ketuhar, peti sejuk, pemanas air, kipas dan pengecas.
ST berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA
