KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 36, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran susur masuk ke Taman Daiman Jaya, dekat sini, petang semalam.
Edil Azhar Abdul Rahman @ Mohamed, 39, dan isterinya Noraziah Mohamad Ali, 36, yang meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan pada badan itu difahamkan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Pasak di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah yang mengesahkan kejadian tersebut berkata kira-kira 4.45 petang itu, sebuah Proton Bezza dari arah Kota Tinggi ke Johor Bahru tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Kancil yang dinaiki pasangan berkenaan.
“Turut terlibat dalam pertembungan itu ialah sebuah lagi Perodua Kancil dan Honda Accord yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, pemandu Proton Bezza mengalami cedera ringan manakala pemandu sebuah lagi Proton Kancil dan Honda Accord tidak cedera.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Bezza,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat. – BERNAMA