MUAFAKAT… Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kalangan ‘orang’ UMNO dan parti komponen agar tidak melakukan sebarang sabotaj menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Amanat Timbalan Perdana Menteri itu disuarakan bagi mengelakkan calon pembangkang dapat menguasai kerusi tertentu sekali gus mendatangkan kerugian kepada rakyat marhaen di kawasan berkenaan kelak.
Pengerusi Gerakan Kedah, Datuk Dr. Cheah Soon Hai berkata, peringatan itu antara perkara ditekankan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bagi memastikan parti kekal berkuasa di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Dalam ucapannya, beliau mahu semua pihak supaya berlapang dada menerima siapa jua calon yang terpilih mewakili parti pada PRU nanti. Selain itu beliau mahu semua parti komponen memiliki semangat juang yang tinggi.
“Malah tidak terlalu mengharapkan UMNO sahaja selaku tulang belakang BN untuk raih sokongan. Dalam masa sama, beliau mengingatkan pemimpin UMNO di peringkat negeri supaya terus bantu parti komponen,” katanya.
Soon Hai ditemui pemberita selepas selesai Majlis Taklimat Khas Persiapan 2.0 dengan kepimpinan BN Kedah secara tertutup menjelang PRU ke-14 di Bangunan Tunku, di Alor Setar malam tadi.
Ahmad Zahid yang hadir bersama isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis tiba kira-kira pukul 9 malam dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah serta isteri, Datin Seri Hizam Awang Hamad.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr. Leong Yong Kong dan Timbalan Pengerusi MIC Kedah, Datuk Dr. S. Ananthan.
Sementara itu, Ketua Wanita BN negeri, Datuk Syarifah Maznah Syed Kassim berkata, Ahmad Zahid dilihat mempunyai keyakinan tinggi terhadap kemampuan jentera BN di Kedah untuk terus menerajui negeri.
“Jentera di Kedah telah digerakkan lebih awal sejak beberapa tahun lalu termasuk dalam proses mendaftarkan pengundi. Dari nada percakapannya, beliau tampak yakin dengan BN Kedah.
“Insya Allah keyakinan itu akan realisasikan pada PRU nanti,” katanya dan meminta mereka yang berminat menjadi calon BN supaya bertolak ansur jika tidak dipilih demi perpaduan gabungan parti itu dalam menghadapi PRU ke-14.
Setiausaha Kerja BN negeri, Datuk Ariffin Man pula memberitahu, Naib Presiden UMNO itu turut mengingatkan jentera parti agar terus berusaha keras dan fokus dengan tugasan serta tanggungjawab masing-masing.
“Ertinya kalau sudah dilantik jadi ketua daerah mengundi, jangan sama sekali pula tukar jadi pemandu kenderaan. Kena faham tugas masing-masing supaya pergerakan jentera dapat disusun dengan betul dan tepat.
“Dalam masa sama beliau tak mahu kita berasa selesa,” katanya dan menyeru anggota supaya tidak sabotaj parti kerana sudah semestinya calon yang dipilih adalah mengikut keperluan BN. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA