PONTIAN – Tiga rakan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pontian, awal tahun lepas.
Mohammad Khalifah Yahya, 24; Abdul Shukur Abdul Ghani, 26; dan S.Ragu, 38, tidak membuat sebarang pengakuan dan hanya menggangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu dan Tamil di hadapan Majistret Azlan Bohari.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka yang menganggur didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama-sama ke atas Jaiman Sapar, 53, di sebuah rumah di Kampung Parit Pak Intan, Kayu Ara Pasong, Pontian pada 27 Januari tahun lepas, kira-kira pukul 1 tengah hari.
Ketika kejadian, mangsa dilaporkan hendak membuka pintu rumahnya selepas pulang dari rumah adiknya yang terletak kira-kira satu kilometer jaraknya manakala tertuduh pula berada di dalam rumah mangsa untuk merompak.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori sekiranya disabit dengan kesalahan.
Kes itu dibawa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Baiduri Mustakim manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru selain menetapkan 15 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Sementara itu, seorang daripada tertuduh, Mohammad Khalifah yang terkenal dengan nama jolokan “Mat Dugong” turut berdepan tiga pertuduhan lain iaitu pecah rumah dan mencuri mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit dengan kesalahan.
Tertuduh tidak mengaku bersalah ke atas semua pertuduhan dan minta dibicarakan. – BERNAMA

