PADANG BESAR – Isu keciciran pelajar sekolah di Perlis akibat kemiskinan harus dipandang serius, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Beliau berkata walaupun peratus keciciran akibat kemiskinan tidak besar, ia tidak boleh dibiar berterusan berlaku dalam sebuah negara membangun seperti Malaysia.
“Faktor kemiskinan antara punca berlaku keciciran pelajar sekolah yang menggelapkan masa depan dan menafikan peluang untuk mengubah kehidupan keluarga mereka.
“Elemen-elemen yang mendorong mereka (pelajar) meninggalkan alam persekolahan seperti kemiskinan dan pengaruh persekitaran harus ditangani dengan pendekatan berbeza oleh pihak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-45 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman, Beseri, di sini hari ini.
Azlan berkata beliau akan membincangkan isu keciciran pelajar dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan PIBG bagi mendapatkan pendekatan terbaik mengatasi masalah itu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kementerian Pendidikan telah meluluskan sebanyak RM1.65 juta bagi membina semula sebuah bangunan yang menempatkan makmal dan bilik masakan sekolah itu yang terbakar pada 2016. – BERNAMA

