SEJAK semalam, tular beberapa keping gambar seorang bayi merangkak ke tengah jalan di sebuah kawasan perkampungan di Thailand.
Perkongsian gambar itu dimuat naik oleh seorang guru yang dikenali sebagai Kittithorn Jadaeng, di mana ia turut mencetuskan reaksi pelbagai daripada pengguna media sosial tempatan.

Menceritakan kejadian, Kittithorn memberitahu bayi tersebut hampir dilanggarnya ketika sedang melalui jalan raya itu di Uthai Thani semasa dalam perjalanan ke Sekolah Banmai Klong-angwa di daerah Ban Rai.
Mujurlah dia sempat menekan brek sejurus terlihat kelibat bayi berkenaan yang merangkak ke tengah jalan.
Kittithorn segera keluar bagi mendapatkan bayi itu dan cuba mencari ibu bapanya, namun alangkah terkejutnya dia apabila mendapati ibu bapanya sedang tertidur di dalam rumah.

“Bayi itu merangkak ke tengah jalan dan kalau ada kereta yang memandu laju dan tidak menyedari kehadirannya, saya tidak dapat membayangkan apa seterusnya yang akan berlaku,” katanya.
Justeru Kittithorn menasihatkan golongan ibu bapa berhati-hati dan sentiasa mengawasi anak-anak mereka.
Sementara itu reaksi netizen khususnya daripada golongan ibu bapa melahirkan rasa kesal dengan sikap sambil ambil mudah ibu bapa kanak-kanak berkenanaan.
Ada yang mengeji tindakan ibu dan bapa bayi berkenaan namun ada juga yang kasihan melihat keadaan uzur rumah mereka yang kelihatan tidak berdinding.
“Boleh mereka tidur mati dan tak sedar anak merangkak sejauh itu? Buatnya kena culik, nak salahkan pintu rumah ke?” – tulis seorang netizen. – MYNEWSHUB.CC
*Video sekadar hiasan…

