BARU-BARU ini kita dihebohkan dengan berita mengenai pelakon, Ayda Jebat dilihat sering kali menemani figura kacak, Redza Rosli ke set penggambaran gara-gara cemburu.
Secara tidak langsung keadaan itu dikatakan telah menimbulkan perasaan kurang senang orang sekeliling yang perlu berurusan dengan aktor berkenaan ketika penggambaran masih lagi dijalankan.
Baca: Didakwa Kuat Cemburu, Ayda Jebat Pilih ‘Kunci’ Mulut
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan sekerasnya oleh penerbit drama, Sheila Rusly yang mengakui kunjungan pelantun lagu Nakal itu sama sekali tidak mendatangkan sebarang masalah.

Menurut Sheila, beliau mengakui Ayda kerap kali berkunjung ke lokasi penggambaran produksinya, JS Pictures yang mana turut melibatkan Redza.
Pun begitu, kehadiran Ayda itu sama sekali tiada masalah malah penyanyi berkenaan memiliki hubungan yang sama dengan semua pihak produksi.
“Memang Ayda ada datang ke set penggambaran drama Isteri Untuk Diiktiraf, tapi kami tak ada masalah tentang hal itu kerana dia memang rapat dengan seluruh warga produksi JS Pictures.
“Dia boleh datang bila-bila masa ke set dan tak tahu pula benda itu pun jadi isu. Sejujurnya kami warga JS okay sahaja. Kedatangan dia tidak ganggu perjalanan shooting, dia bergaul dengan semua dan tak kacau kami pun,” katanya dipetik mStar Online, hari ini.

Dalam pada itu, Sheila turut menafikan desas-desus yang mengatakan beliau mempunyai masalah peribadi dengan dua selebriti berkenaan.
Pada masa sama, beliau juga mengakui terkejut serta tidak mengetahui daripada mana munculnya khabar angin kononnya pihak produksi kurang senang dengan pasangan tersebut.
“Astagfirullahaladzim… Saya tak ada masalah pun dengan Ayda atau Redza. Saya pun tak tahu daripada mana datang cerita tersebut. Mereka dah macam anak-anak saya.
“Ayda akan ada penggambaran drama baru bermula 11 Februari ini dan hubungan kami memang rapat. Soal gosip cinta dia Redza, saya tak tahu. Kalau betul Alhamdulillah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sheila telah dilantik menjadi panel bagi sesi kelas lakonan program DFKL 2018 yang turut melibatkan beberapa penggiat drama lain.
Antaranya seperti Datin Diana Danielle, Erma Fatima, Fauziah Ahmad Daud, Fasha Sandha, Jason Chong, Shahrulezad dan Jason Kok. – MYNEWSHUB.CC/AM