KUALA LUMPUR – Koperasi kredit tempatan disaran mempelopori produk insurans dalam usaha mempelbagai perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pinjaman kewangan, yang dapat menjana perolehan tinggi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata produk insurans boleh dilaksanakan dengan penggabungan koperasi kredit supaya mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh.
Katanya mekanisme dan pelaksanaan penjualan produk insurans berkenaan kini di peringkat akhir perbincangan bersama Bank Negara Malaysia dan akan diperincikan selepas pembentangan Rang Undang-Undang Koperasi Pindaan 2017 di Parlimen pada Mac ini.
“Jika mereka (koperasi kredit) sudah digabungkan nanti, ia akan memberi kekuatan kepada mereka dan boleh menjadi ejen kepada pemain utama sama ada Bank Rakyat atau Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd (CBP) yang akan ditentukan kemudian.
“Buat masa ini, kita perlu membayar jumlah premium yang besar kepada syarikat insurans komersil. Kalau kita boleh gabungkan koperasi kredit dan mempunyai produk insurans sendiri maka, kita boleh menentukan perbelanjaan, perkhidmatan dan kewangan sendiri serta mendapat pulangan balik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Sesi Penerangan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Kewangan Koperasi dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bank Rakyat dengan CBP.
Hamzah berkata setakat ini, terdapat kira-kira 500 koperasi kredit tempatan di seluruh negara dan koperasi berkenaan disaran agar bergabung bagi mempertingkatkan kekuatan sektor perkhidmatan kewangan koperasi berkenaan.
Sehingga Disember lepas, katanya, sektor perkhidmatan kewangan koperasi menyumbang perolehan sebanyak RM32.55 bilion dengan Bank Rakyat dan CBP merupakan penyumbang utama kepada perolehan sektor itu yang sebanyak RM24.45 bilion (75.11 peratus) manakala koperasi kredit menyumbang sebanyak RM5.69 bilion (17.48 peratus).
Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Kewangan Koperasi 2016-2020 dilancarkan oleh Hamzah bulan lepas untuk mendapatkan maklum balas berkaitan cadangan pelaksanaan 34 inisiatif strategik sektor berkenaan termasuk model perniagaan baharu koperasi, penggabungan koperasi kredit dan pengendalian wang koperasi. – BERNAMA
