KUCHING – Prestasi pelaksanaan projek atau program negeri Sarawak di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) setakat ini berjalan lancar, kata menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Daripada 81 projek yang diluluskan bagi Rolling Plan ke-2 (RP2) dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) tahun 2017, dengan peruntukan sebanyak RM1.06 billion untuk Sarawak, 17 projek berstatus Dahulu Jadual (DJ), 15 projek berstatus Ikut Jadual (IJ) dan sembilan projek, telah siap sepenuhnya.
“KKLW akan terus memainkan peranan dan mengambil pendekatan lebih agresif untuk memantau projek pembangunan seperti jalan, elektik, air dan lain-lain agar dapat dilaksanakan dengan pantas berdasarkan keutamaan dan keperluan penduduk luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Bersama Perancangan dan Pemantauan Projek KKLW – Kerajaan Negeri Sarawak (JTB KKLW – SARAWAK) di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata dalam Bajet 2018, KKLW kekal sebagai kementerian yang kedua tertinggi menerima peruntukan Belanja Pembangunan, iaitu sebanyak RM3.87 bilion bagi melaksanakan 650 projek pembangunan yang melibatkan 178 projek baharu dan 472 projek sambungan.
“Daripada jumlah itu, Sarawak mendapat agihan sejumlah RM1.102 bilion iaitu 28.48 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan Belanja Pembangunan.
“Dalam RP3, sejumlah RM400 juta untuk Bekalan Elektrik Luar Bandar, RM138.04 juta untuk Bekalan Air Luar Bandar, RM136.90 juta untuk Jalan Luar Bandar, RM38 juta Program Jalan Kampung dan RM7 juta untuk Program Ameniti Sosial.
Manakala untuk projek di bawah agensi kerajaan negeri, Jabatan Pertanian Sarawak mendapat agihan peruntukan RM17.84 juta, Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak RM3 juta, Lembaga Kemajuan Bintulu RM4 juta dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA) RM 18.6 juta,” ujarnya.
Menjelang tahun 2025, katanya, KKLW menyasarkan projek pembangunan elektrik luar bandar mencapai tahap 90 peratus siap manakala 61 peratus untuk bekalan air bersih.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. – BERNAMA