GERIK – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sedia bekerjasama dengan mana-mana yayasan dan badan korporat di negara ini bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Orang Asli.
Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTK Semenanjung Malaysia, Rahmat Ismail berkata langkah itu untuk membantu membolehkan Orang Asli dan anak Orang Asli memperoleh beberapa bidang kemahiran seperti jahitan dan kraftangan untuk masa depan mereka.
Namun begitu, katanya, terdapat beberapa cabaran dan kekangan yang diterima pihaknya dalam memberi khidmat kemahiran kepada masyarakat tersebut.
“Kita tidak boleh membawa anak Orang Asli keluar kerana apabila mereka balik ke kampung masing-masing, mereka tidak akan datang balik (ke tempat latihan).
“Oleh kerana itu, kita perlu melatih mereka di kampung dengan pelbagai latihan kemahiran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Skim Latihan Masyarakat Orang Asli Belum-Temenggor di Kampung Sungai Raba, kira-kira 55 km dari sini, hari ini.
Rahmat berkata program yang dijalankan hari ini adalah dengan kerjasama Yayasan Emkay dan Yayasan CIMB serta beberapa agensi dan kolej kemahiran di sini.
Setakat ini, katanya, program itu sudah dilaksanakan di empat buah kampung iaitu di Kampung Orang Asli Semelor, Sungai Kejar, Sungai Tiang dan Desa Damai manakala Kampung Sungai Raba adalah yang kelima di negeri ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Emkay, Zainon Kasim berkata yayasan itu komited memberi tumpuan dalam pendidikan terhadap anak-anak masyarakat Orang Asli.
“Yang penting, kita harap mereka ini ada minat memajukan ekonomi mereka, dan kita sedia membantu,” katanya. – BERNAMA