KUALA BERANG – Jangan sibuk untuk menjadi jaguh dengan cara tularkan berita di media sosial hingga lupa sensitiviti mangsa apatah lagi melibatkan kematian, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari.
Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu meluahkan rasa tidak puas hatinya di atas penularan berita kematian seorang pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman Gemas, Negeri Sembilan yang tular semalam selepas terkena bilah pisau traktor mesin rumput.
“Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dan seharusnya netizen (pengguna internet) harus fikir sama ada perkara ini benda yang harus disebarkan ataupun tidak. Lihat sama ada ia mengganggu sensitiviti seseorang dan seharusnya menjadi pengguna yang bertanggungjawab dalam memilih berita mana yang patut disebarkan.
“Berita seperti kecelakaan yang memperlihatkan wajah jelas seseorang sepatutnya tidak harus disebar secara meluas. Fikir perasaan keluarga yang terlibat, ini kita berterusan untuk kongsi perkara tersebut supaya dilihat sebagai jaguh dalam menyampaikan maklumat. Kalau dapat sekadar untuk kita tahu dan ambil iktibar, jangan kita sebarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Randok, Ajil yang turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail.
Semalam, pelajar perempuan tingkatan dua sekolah berkenaan, Nur Afini Roslan, maut manakala dua pelajar lelaki cedera terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang sekolah itu ketika menyertai raptai perbarisan sukan.
Jailani berkata, perbuatan yang tidak beretika tersebut menjadi satu kesalahan di bawah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 dan/atau tidak melebihi satu tahun penjara, jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan lain, Jailani juga mengharapkan pemantaun berterusan terutamanya ibu bapa kepada golongan remaja dalam segala perbuatan mereka di alam maya bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dengan unsur-unsur negafif di media sosial.
“Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ada menyatakan tentang penglibatan pelajar sekolah rendah dan menangah dalam pembelian dadah melalui WeChat dan WhatsApp dimana saya amat tekankan semua pihak harus mainkan peranan tidak semestinya pihak kerajaan melalui polis dan guru-guru di sekolah sekolah yang kena pantau. Ibu bapa apabila anak melayari internet di rumah pun kena tahu apa yang dilayari mereka.
“Bukan hanya pembelian dadah tapi banyak lagi barang-barang terlarang tidak sah dan saya ingin tekankan bahawa pemantauan ini penting kerana ia boleh kurangkan pendedahan anak ini kepada jenayah. Anak anak kita tidak tahu apa benda…banyak masa dihabiskan di laman sesawang kerana di sana dunianya lebih bebas,” katanya.
Di samping itu, Jailani juga turut meminta agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya lebih agresif dalam memantau laman web yang memasarkan barangan-barangan terlarang berkenaan.
Tambah beliau, jika MCMC sahaja yang melakukan pemantauan dan tidak ada laporan daripada masyarakat sekililing perkara berkenaan tidak akan diselesai.
“Jika ada sebarang laman atas talian yang mencurigakan, sila buat laporan kepada pihak polis dan MCMC…kita akan cuba bantu dan sekat supaya gejala tidak tidak sihat dapat terus dikurangkan jumlahnya dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Dalam laporan sebuah akhbar tempatan semalam, terdapat kumpulan sindiket jenayah dan dadah dikesan menggunakan media sosial untuk merekrut anggota kongsi gelap, penjual dan keldai dadah.
Mohamad Fuzi Harun juga berkata, kemajuan teknologi juga menyebabkan pelajar sekolah antara pelanggan aktif dikesan membeli dadah secara dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp dan WeChat. – BERNAMA