LAGU Jampi nyanyian dan ciptaannya benar-benar bagaikan ‘sihir’ buat siapa sahaja yang mendengar hingga menjadi fenomena dalam industri hiburan tempatan.

Bagi penyanyi dan komposer Hael Husaini, dia akui bahawa dengan adanya lagu Jampi itu, sama sekali tidak membuatkan dirinya berasa selesa dengan genre muzik yang dibawa.
Menurut Hael atau nama sebenanrya, Hal Husaini Razmi, 30, bagi single keduanya yang akan datang, pastinya akan ada kelainan kerana mahu mengetengahkan kepelbagaian genre dalam setiap lagunya.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan penerimaan orang ramai untuk single Jampi ini dan saya tidak mahu begitu selesa dengan pencapaiaan sekarang ini.
“Untuk single baharu nanti, saya tidak akan buat yang sama macam Jampi kerana ingin memberikan kelainan kepada pendengar,” katanya dipetik daripada portal Astro Gempak.
Tambah bintang kelahiran Akademi Fantasia Musim 10 itu, dia juga meminati genre rock dan dalam masa yang sama turut akan mengetengahkan genre yang lain.

“Saya mahu lebih meneroka pelbagai genre lain agar muzik yang dibawakan nanti tidak kelihatan satu nada sahaja,” tambahnya lagi.
Baru-baru ini, Hael telah memenangi anugerah dalam kategori Lagu Viral ERA bagi lagu Jampi pada malam Anugerah Digital Muzik Era 2018 yang bertempat di Banquet Hall Sentul, Kuala Lumpur.
Hael turut dikenali sebagai seorang komposer yang berbakat selepas dia berjaya menghasilkan banyak lagu yang berkualiti untuk penyanyi tempatan lain.
Lagu Jampi turut tercalon dalam pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32).
Baca: “Ada ‘Rahsia’ Lain Sebalik Maksud ‘Cumi Cumi’ “- Hael
Juga: “Hael Tahu Apa Saya Nak, Saya Terima Dia” – Amira

Antara ciptaannya ialah Hati-Hati, Mimpi Indah (Amira Othman), Girl (Dafi), Cemburu, Pematah Hati (Nabila Razali), Semua Untuk Cinta (Indah Ruhaila), Rempuh (Tomok & Black), Dia (Dayang Nurfaizah), Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor) dan banyak lagi.
Tak dinafikan, kebanyakan lagu ciptaan Hael pastinya menjadi ‘berhantu’ kerana lagu itu bukan hanya sekadar lagu, namun ia mempunyai isi di dalamnya.
Walaupun Hael baru sahaja keluar dengan single pertamanya, itu tidak membuatkan dia risau kerana lagu ciptaannya kini telah menjadi ‘rebutan’ ramai penyanyi baharu. – MYNEWSHUB.CC/AH