TAIPEI – Gempa sekuat 6.4 pada skala Richter melanda timur Taiwan menyebabkan dua maut dan lebih 200 cedera, selepas beberapa bangunan runtuh dan memerangkap penduduk di dalamnya.
Sebuah hotel dan blok perumahan adalah yang paling teruk terjejas oleh gegaran gempa berkenaan di bandar pelabuhan Hualien, menurut agensi bomba negara pulau tersebut.
Lima lagi bangunan termasuk sebuah hospital turut musnah, dengan siaran televisyen menunjukkan jalan raya dipenuhi runtuhan bangunan, keretakan lebuh raya dan bangunan musnah yang menyenget.
Hotel Marshal yang paling teruk terjejas itu sebahagiannya hampir runtuh sepenuhnya, dengan beberapa anggota penyelamat mencuba menyelamatkan penduduk dari aras lebih tinggi menggunakan kren.
“Ini adalah gempa bumi palin besar yang pernah saya alami di Hualien dalam masa lebih 10 tahun,” jelas penduduk Blue Hsu kepada agensi berita antarabangsa AFP.
Sambil menggambarkan insiden di Hotel Marshal, Hsu berkata aras-aras lebih rendah sudahpun musnah. Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia pusat gempa bumi itu terletak di 81 kilometer timur laut dari Taichung.
“Aras-aras lebih rendah tertimbus dalam tanah dan saya ternampak beberapa pelancong yang cemas diselamatkan dari hotel itu. Terdapat sebuah jentolak dan sekitar 50 penyelamat di tempat kejadian,” katanya.
Hualien adalah salah sebuah hab paling terkenal di Taiwan kerana ia terletak di laluan kereta api pantai timur dengan pemandangan indah dan juga berhampiran Gaung Taroko.
Lebih 15 gempa susulan berlaku menyusuli gempa berkenaan, menurut biro cuaca Taiwan. Para pegawai dari jabatan bomba Hualien mengatakan seramai 149 penduduk diselamatkan dari bangunan yang musnah itu.
Pihak berkuasa turut berkata beberapa orang masih terperangkap tetapi tidak dapat memberikan angka keseluruhan. Bagaimanapun gempa itu tidak mendatangkan ancaman tsunami.
Gempa tersebut berlaku pada pukul 11.50 malam (1550 GMT) sekitar 21 kilometer dari Hualien, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

