KATA orang, bahagia jangan ditunjuk sangat dekat orang lain; takut nanti tak sampai seru jodoh, ‘kapal’ pula karam ditengah lautan!
Oleh itu, pelakon bersuara halus, Fasha Sandha akui bahawa dia kini lebih berhati-hati tentang soal hati dan perihal peribadinya.
Menurut Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 33, hatinya kini sudah diisi oleh seorang jejaka bertuah tetapi dia mengambil keputusan untuk merahsiakan identiti lelaki tersebut daripada orang ramai.
“Hanya saya seorang yang tahu dengan siapa saya berkawan. Buat masa ini, saya lebih selesa berkawan saja. Bukan tak nak dedahkan, tetapi saya takut tak jadi. Bahagia kita jangan ditunjuk, nanti orang curi. Derita kita pula jangan beritahu semua orang, nanti kena keji.
“Biarlah rasa bahagia itu saya simpan dalam diri. Nanti kalau memang sudah jadi, barulah saya akan kongsi. Apa pun, saya akui sangat bahagia sekarang kerana saya tidak lagi rasa sunyi,” katanya dipetik daripada BH Online.
Fasha sebelum ini pernah digosipkan sedang hangat bercinta dengan seorang individu yang dikenali sebagai Ustaz Rock atau nama sebenarnya Ahmad Mukhlis Mohd Rosdi.
Namun pelakon drama Syurga Yang Kedua itu menafikan hubungan mereka dan jawapannya sama sahaja iaitu hanya sedar berkawan.
Dalam masa yang sama, Fasha juga mengakui bahawa dia hanya memberiakan masa selama dua tahun sahaja kepada dirinya sebelum dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua.
“Seronok sebenarnya apabila memegang status ‘single’. Saya bebas nak berkawan dengan sesiapa saja dan orang juga senang nak dekati kita. Maklum sajalah, apabila hidup solo, ia bermakna kita tak ada komitmen.
“Kalau betul lelaki itu mahukan saya, dia kenalah bersabar. Setakat ini tiada siapapun yang mendesak,” ujarnya lagi.
Fasha dan bekas suaminya, Jejai atau nama sebenarnya Rizal Ashram Ramli telah bercerai pada Januari 2016 yang lalu dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 4 dan Putri Raysha Jemyma yang berusia 3 tahun.
Dalam perkembangan terbaharu, Fasha juga telah terlibat di dalam filem Badang yang merupakan arahan Datuk Prof. Dr. A Razak Mohaideen dan digandingankan dengan jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri yang bakal menemui penonton pada 15 Februari ini.
Selain itu, Fasha juga telah membintangi drama berjudul Teratai Kemboja bersama dengan pelakon hebat, Adi Putra yang merupakan arahan pengarah terkenal, Along Kamaludin dan bakal ditayangkan sekitar April ini di TV3. – MYNEWSHUB.CC/AH