PETALING JAYA – Tindakan seorang mekanik mencuri peralatan bengkel tempat kerjanya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrulamin Sarmin, 37, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri beberapa barangan peralatan bengkel antaranya satu unit pemampat, empat unit rod kimpalan dan tiga unit gerudi bateri.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bengkel di Jalan BPU 6/4, Bandar Bukit Puchong, Puchong, di sini, pada 12.30 tengah malam, 9 Feb lalu.
Pendakwaan bagi kes itu dilakukan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.
“Hanya hukuman penjara sahaja yang paling sesuai bagi kes ini,” kata Shafiq.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia melakukan perbuatan tersebut disebabkan majikannya tidak membayar gajinya. – BERNAMA

