ALOR SETAR – Anak syarikat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Syarikat Perniagaan Peladang Sdn Bhd (MADACorp) hari ini menafikan tuduhan berhubung masalah pertumbuhan padi angin yang berpunca daripada benih padi keluaran mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif MADACorp Shakir Jamil berkata tuduhan berkenaan adalah tidak benar sama sekali kerana benih padi yang dikeluarkan oleh MADACorp telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pertanian.
“Benih padi yang dikeluarkan dihasilkan mengikut kuota dan pengawasan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jabatan Pertanian juga telah menetapkan syarat kepada pengeluar padi sah sebelum benih tersebut boleh dibekal dan dijual kepada semua petani.
“Kita (MADACorp) memandang serius keluhan petani berhubung masalah padi angin ini. Siasatan telah dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil oleh pihak MADACorp setelah mengenal pasti punca sebenar berlakunya pertumbuhan padi angin tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shakir berkata MADACorp sangat komited dalam memastikan penghasilan benih padi yang berkualiti untuk dibekalkan kepada semua petani di kawasan MADA.
“Kami sentiasa pastikan benih padi yang berkualiti dibekalkan kepada petani, jadi para petani disaran untuk bersabar kerana siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar padi angin ini berlaku sedang dijalankan,” katanya.
Katanya, sekiranya para petani mempunyai sebarang pertanyaan dan memerlukan maklumat lanjut berkenaan benih padi sah boleh menghubungi MADACorp di talian 04-7312701. – BERNAMA