KUALA LUMPUR – Juara dunia Muhd Azizulhasni Awang dan pelumba trek berbasikal wanita, Fatehah Mustapa merupakan prospek utama meraih pingat pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC 2018) di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, dari 16 hingga 20 Feb ini.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab berkata selaku tuan rumah, pelumba negara perlu memanfaatkan peluang kerana ACC merupakan kejohanan pertama dalam kalender Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) tahun ini, menawarkan mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
Abu Samah berkata Mohd Azizulhasni dan Fatehah perlu meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara keirin atau pecut.
Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocket Man, mempunyai rekod baik dalam acara pecut di ACC apabila pernah memenanginya pada 2008, 2009 dan 2014.
“ACC kali ini mencatat penyertaan paling ramai sebanyak 379 pelumba daripada 21 negara. Kuasa-kuasa besar seperi Korea Selatan, China dan Jepun menyenaraikan atlet terbaik mereka.
“Saya yakin Kazunari Watanabe (Jepun) pasti mahu menang di sini. Korea Selatan pula mempunyai ramai pelumba muda berbakat dan kompetitif, jadi pelumba negara seperti Muhd Shah Firdaus Sahrom juga perlu memanfaat peluang beraksi di tempat sendiri dengan menampilkan aksi terbaik,” katanya pada sidang media ACC 2018 di Seri Kembangan dekat sini hari ini.
Kejohanan peringkat elit berkenaan memasuki edisi ke-48 dengan negara kuasa besar seperti Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong dan Kazakhstan sudah mengesahkan penyertaan.
Abu Samah berkata penganjur menerima wang penajaan daripada Kementerian Belia dan Sukan serta penaja lain berjumlah RM800,000 bagi menjayakan kejohanan tersebut. – BERNAMA