KUALA LUMPUR – Pengarah di Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar, Gloria Corina anak Peter Tiwet mencatat sejarah apabila menjadi wanita kelahiran Sarawak daripada etnik Dayak pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di luar negara.
Gloria yang akan bertugas di Nigeria merupakan antara lima ketua perwakilan Malaysia menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini.
Yang lain ialah Mohamad Nizan Mohamad yang bakal bertugas di Afrika Selatan, Chitra Devi V. Ramiah (Poland), Mohd Haniff Abd Rahman (Mesir) dan Zahairi Baharim (Myanmar).
Gloria antara lain pernah menjadi Pengarah di Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2015 di Kementerian Luar selain pernah bertugas di Sweden, Argentina dan Chile.
Sebelum pelantikan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Mohamad Nizan merupakan Setiausaha Bahagian Afrika, Kementerian Luar.
Beliau pernah menjadi Duta Besar Malaysia di Korea Utara dari 2015 hingga 2017 selain berkhidmat di Thailand, Zimbabwe, Kanada dan Laos.
Chitra Devi yang bakal menjadi Duta Besar Malaysia ke Poland, merupakan Duta Besar di Timor Leste sejak 2016 dan sebelum itu memegang jawatan Konsul Jeneral Malaysia di Chennai selain pernah bertugas di kedutaan Malaysia, Hungary.
Mohd Haniff sebelum ini merupakan Duta Besar Malaysia di Myanmar sejak 2014 sebelum dilantik sebagai Duta Besar ke Mesir.
Beliau merupakan Konsul Jeneral Malaysia di Vancouver, Kanada dari 2011 hingga 2014 selain pernah bertugas di Kosovo, Jepun dan Fiji.
Duta Besar Malaysia ke Myanmar yang baharu Zahairi sebelum ini merupakan Setiausaha Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar di Kementerian Luar sejak 2016, selain pernah berkhidmat di Afrika Selatan, Qatar, Kuwait dan Laos.
Dalam pada itu, Sultan Muhammad V turut berkenan menerima watikah pelantikan daripada 10 bakal Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi asing ke Malaysia.
Mereka ialah Venetia Sebudandi dari Rwanda, Valery Kolesnik (Belarus), Dr Toh Kyung Hwan (Korea Selatan), Akua Sekyiwa Ahenkora (Ghana) dan George Bitar Ghanem (Lebanon).
Lima lagi ialah Andrew Goledzinowski (Australia), Dr Merve Kavakci (Turki), Bai Tian (China), Muhammed Nafees Zakaria (Pakistan) dan Jesper Vahr (Denmark). – BERNAMA

