BUKIT MERTAJAM – Dua beradik yang direman empat hari berhubung kes kematian pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai didera majikannya Ahad lepas, disambung reman tujuh hari lagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berumur 39 tahun dan adik perempuannya, 36, dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini selepas tempoh reman mereka tamat.
“Pihak polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat yang dijalankan ke atas pembantu rumah itu bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata dengan penahanan tiga suspek utama termasuk ibu kepada dua beradik itu polis percaya kes tersebut dapat diselesaikan dan kertas siasatan dijangka siap dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.
Berhubung dakwaan terdapat bekas luka pada tangan kanan pembantu rumah itu dipercayai bekas gigitan binatang dan tangan kiri terkena cecair kimia, katanya polis akan menyiasat perkara itu.
Semalam Ketua Agensi Kebangsaan bagi Penempatan dan Perlindungan Pekerja Indonesia Luar Negara, Nusron Wahid dipetik berita Kompas sebagai berkata terdapat kesan gigitan haiwan pada tangan pembantu rumah yang meninggal dunia di Pulau Pinang itu.
Adelina Lisio, 28, yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam pada badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada kira-kira 4.45 petang Ahad dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
Mangsa ditemui kira-kira 8 malam Sabtu selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang juga pembantu kepada Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Lim dan menahan dua beradik lelaki dan perempuan itu sebelum menahan ibu mereka iaitu majikan mangsa pada Isnin bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Naib Konsul Ganeral Indonesia di Pulau Pinang, Osrinikita Zubhana berkata pihaknya berjaya menghubungi keluarga Adelina yang tinggal di Nusa Tenggara di Indonesia lewat malam tadi dan mereka sangat sedih dengan kejadian yang menimpa pembantu rumah itu.
“Mayat mangsa masih berada di HSJ kerana polis masih mahu melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan laporan penuh bedah siasat ke atas Adelina dan dijangka mayat diserahkan kepada kami (Konsulat Indonesia di Pulau Pinang) paling cepat esok.
“Selepas semua selesai kami akan membawa pulang mayat mangsa ke kampung halamannya kerana itu permintaan keluarga Adelina,” katanya. – BERNAMA