TETAP DITERUSKAN… Kuil Batu Caves tidak akan ditutup kepada penganut Hindu menunaikan nazar sempena Thaipusam walaupun ada ramalan berlaku fenomena gerhana bulan pada tarikh itu.
Namun satu upacara khas dikenali sebagai parigaaram pooja akan dilakukan untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini mengikut kepercayaan masyarakat Hindu setiap kali berlakunya gerhana bulan atau matahari.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengurusan Kuil Devasthanam Sri Maha Mariamman, Tan Sri R. Nadarajah, fenomena kali pertama dalam sejarah sambutan Thaipusam menyebabkan pihaknya terpaksa mengambil alternatif itu.
“Rata-rata penganut Hindu tidak akan keluar rumah dan setiap rumah ibadat atau kuil akan ditutup sepanjang tempoh berlakunya fenemona gerhana. Namun dalam hal ini, kita juga perlu memikirkan jalan yang terbaik.
“Ini kerana mereka yang mahu bayar nazar ketika Thaipusam sangat ramai. Kita tiada niat untuk menutup kuil Sri Subramaniyar Swami di situ kerana kepentingan orang ramai yang mahu melakukan nazar,” kata Nadarajah.
Ada telah lama memasang niat dan sembahyang hajat. Dengan melakukan parigaaram pooja, penganut Hindu masih mampu menyambut Thaipusam. Kuil Sri Subramaniyar Swami malah meraikannya selama empat hari.
“Ia bermula dari 29 Januari hingga 1 Febuari. Perarakan kereta berhala Gold Chariot dan Silver Chariot dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S. Lee ke Kuil Sri Subramaniar Batu Caves sejauh 18 kilometer,” kata Nadarajah.
Beliau kemudian menambah, puluhan ribu penganut agama Hindu dijangka berarak dengan membawa ‘kavadi’ dan periuk susu ‘pal koodam’ serta memecahkan biji kelapa untuk membayar nazar dan menebus dosa merea.
“Malah kali ini, kita tidak akan mengenakan sebarang peraturan khas kepada mana-mana induvidu yang membawa kavadi seperti tahun sebelum ini kerana pihak kami menerima aduan daripada pembawa kavadi yang bernazar.
“Ada yang akan membawa parang, menghisap curut dan lain-lain lagi. Pada saya, terpulang kepada mereka bagaimana mereka mahu membayar niat mereka, itu tanggungjawab mereka sendiri,” tegas Nadarajah lagi.
Lebih 1.5 juta orang dijangka berada di Batu Caves menyambut Thaipusam kali ke-128 tahun ini. Ia disambut pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil sebagai penghormatan Dewa Murugan sempena peringati hari lahir tuhan itu.
Turut dikenali Thaipooyam atau Thaippooyam dalam bahasa Malayalam, Dewa Murugan ialah anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati. Ia juga bagi mengenang peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci dari ibunya.
Ini bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman. Sementara itu, mengikut ramalan Agensi Angkasa Negara, gerhana bulan penuh akan berlaku pada 31 Januari ini meliputi sebahagian dunia termasuk Malaysia.
Ia juga dapat disaksikan di Amerika Syarikat, Timur Laut Eropah, Russia, Asia, Lautan Hindi, Pasifik dan Australia. Di Malaysia, gerhana dijangka bermula pukul 7.45 malam dan mencapai kemuncak maksimum pada 9.30 malam.
Fenomena alam itu bakal berakhir pada pukul 11.11 malam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA