PETALING JAYA – Seorang penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM23,623 milik majikannya, enam tahun lepas.
Rozain Hussin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Shahirah Abdul Salim.
Mengikut pertuduhan, Rozain sebagai penghantar surat yang diamanahkan dengan wang berjumlah RM23,623 untuk urusan pembayaran pendaftaran hak milik tanah, gadaian dan urusan setem bagi pelanggan firma guaman Tetuan Majid & Chen, didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang itu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di premis firma guaman berkenaan di First Subang, Jalan SS15/4G, Subang Jaya di sini mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam itu.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana penjaminnya gagal hadir di mahkamah dan menetapkan 5 Mac depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA