KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori sampah didenda RM3,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut untuk membakar rumah dan melakukan khianat dengan memecahkan serta merosakkan motosikal milik seorang wanita.
Majistret Maizatul Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas A. Kalaivanan, 40, selepas dia mengaku bersalah mengugut S. Rekha, 33, dengan mengeluarkan perkataan ‘mahu membakar rumah’ milik mangsa di Blok 22A, Jalan Chempedak melalui Jalan Perhentian, di sini pada 10.45 malam, 6 Jan lepas.
Bapa lima anak itu itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dia turut mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan dan merosakkan komponen motor mangsa sehingga menyebabkan kerugian RM1,500 di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau satu bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan kedua.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dengan alasan dia penanggung utama keluarga dan mempunyai lima orang anak serta memohon maaf atas perbuatannya manakala Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan. – BERNAMA