PUSINGAN U… Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa seluruh ahli parti itu yang majoritinya Melayu menyokong DAP dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Muhyiddin memberi alasan konon ia prinsip PPBM iaitu menyokong sesiapa sahaja yang bertanding atas tiket pakatan pembangkang walaupun calon DAP yang beliau pernah labelkan sebagai parti chauvanis dan mengancam kepentingan Melayu.
“Prinsip PPBM siapa bertanding atas pakatan.. DAP ke, Amanah ke, Keadilan ke kita sokong 100 peratus dan kita dah janji tidak akan boikot mereka.
“(Boikot) Itu satu rancangan bodoh membunuh diri. Kalau kita boikot, mereka dan parti mereka akan boikot kita dan kita kalah. Kita tidak mahu itu. Kita nak menang tumbangkan Barisan Nasional (BN),” katanya pada majlis anjuran Pakatan Harapan di ibu negara baru-baru ini.
Ironinya, Muhyiddin sewaktu masih berada di dalam UMNO adalah pemimpin yang paling lantang mengkritik sikap perkauman DAP yang wajib dijauhi oleh segenap masyarakat Melayu.
Beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 malah mengingatkan Melayu tidak terpedaya dengan DAP yang sedang giat menarik orang Melayu dengan dijanjikan jawatan tertentu.
Muhyiddin turut mengingatkan DAP mahu orang Melayu yang malang menjadi pengkhianat bangsa sendiri dan kuda tunggangan yang kerjanya menjaga kepentingan chauvanis DAP.
Beliau turut mendedahkan hasrat DAP menubuhkan negara republik dengan mengenepikan nilai sejarah dan jati diri Malaysia yang berpaksikan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Islam.
“Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan daripada kumpulan yang berniat jahat ini, DAP dan konco-konconya bertubi-tubi mempersendakan umat Islam.
“Semakin nyaring suara umat Islam membela kesucian agama, semakin ghairah mereka menyebarkan dakyah keatas umat Islam atas nama kebebasan beragama,” kata Muhyiddin ketika itu. – MYNEWSHUB.CC

