ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Hungary ke Malaysia Atilla Kali serta rombongannya di pejabat beliau di sini.
Atilla tiba di Wisma Darul Aman di sini dengan diiringi Ketua Pejabat Hal Ehwal Ekonomi, Kedutaan Hungary di Kuala Lumpur, Dr Emilia Fabian.
Pertemuan itu berlangsung selama 30 minit.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri dan Kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail.
Attila tiba di Kedah hari ini untuk melakukan lawatan rasmi dua hari bagi meneroka peluang perniagaan antara Kedah dan Hungary.
Beliau juga dijadual menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan menghadiri Forum Perniagaan Kedah-Hungary anjuran Invest Kedah dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama).
Hungary membuka semula kedutaannya di Malaysia pada 2015. – BERNAMA