WASHINGTON DC – Apa ada pada nama? Namun sebuah syarikat automotif China terpaksa tukar nama salah satu modelnya kerana bimbang dipandang negatif di pasaran Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan media, Guangzhou Automobile Group Co. Ltd. (GAC) bakal menukarkan nama Trumpchi yang dijangka memasuki AS tahun depan kerana khuatir nama itu dikaitkan pula dengan nama Presiden Donald Trump.
Jurucakap GAC semasa pameran kereta di Detroit dekat sini semalam berkata, nama model tersebut namun ditukar hanya untuk pasaran AS untuk mengelakkan berlaku salah faham pengguna negara itu dan sebutan konotasi salah.
Trumpchi telah berada di pasaran China sejak 2010 sempena dengan Sukan Asia di Guangzhou sebagai kereta rasmi kejohanan pada ketika itu dan makna perkataan tersebut dalam bahasa Cina yang sebenarnya bermaksud ‘legenda’.
Media tempatan baru-baru ini melaporkan pihak eksekutif GAC sedang mempertimbangkan cadangan penukaran nama Trumpchi untuk model terbaharu kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan lima dan tujuh tempat duduk itu.

GAC yang telah berjaya menjual lebih 500,000 buah kereta itu di China dan 13 buah negara lain di Asia sudah lama mengumumkan untuk menjadi syarikat automobil pertama China memasuki pasaran AS pada hujung tahun 2019.
Ia juga merancang untuk meluaskan perniagaan ke Eropah selepas mampu memenangi hati ramai pelanggan di AS. Budaya pemilihan nama jenama turut mempengaruhi syarikat pembuat kereta terkenal antarabangsa lain.
Sebagai contoh Tata Motors di India pernah menggunakan singkatan untuk nama zippy car kepada Zica yang merupakan pemilihan nama agak malang untuk model kereta sedan hatchback keluarannya itu pada 2016 lalu.
Ini kerana secara kebetuan pada tahun yang sama Pertubuhan Kesihatan Dunia (WTO) pula telah mengisytiharkan virus Zika bawaan daripada nyamuk aedes di Brazil sebagai darurat global selepas pantas menular di seluruh dunia.
Syarikat itu terpaksa menukar nama model tersebut kepada Tiago. Strategi nama berbeza untuk negara tertentu juga diamalkan banyak pengeluar automotif berdasarkan sensitiviti budaya tempatan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

