Tuesday, June 25, 2024

Creating liberating content

Pemilik Basikal Di Kuala...

KUALA LUMPUR - Rancangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai 'bandar raya mesra basikal' telah...

Bayi Meninggal Dunia Di...

SHAH ALAM - Kematian seorang bayi berusia empat bulan di sebuah taska di...

Pecah Masuk Rumah Khuzaimi:...

Shah Alam : Dua suspek dipercayai terbabit dalam kejadian pecah masuk rumah pemain...

BBC Tampil Dengan Koleksi...

PENGELUAR tudung instant, Bunga Beauty Collection (BBC) sekali lagi memperkenalkan tudung keluaran terbaru...

Kehadiran PM, TPM Serikan Sambutan Thaipusam

KUALA LUMPUR – Kuil-kuil menjadi tumpuan bagi acara keagamaan yang disempurnakan penganut Hindu pada sambutan Thaipusam yang diraikan dalam suasana meriah hari ini.

Kuil Sri Subramaniar Swamy di Kuala Selangor menerima tetamu khas dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi tetamu kehormat pada sambutan di kuil dengan nama serupa di Batu Caves.

Di Kuala Selangor, ribuan penganut Hindu mula membanjiri kuil berkenaan sejak malam tadi bagi bersembahyang dan membayar nazar.

Najib yang tiba pada kira-kira 11 pagi disambut mesra oleh pengunjung dan pengerusi kuil itu, T. Morgana Sundram. Turut hadir Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Tan Sri Noh Omar dan anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Rumah ibadat itu menjadi tumpuan bukan sahaja penganut Hindu malah pelancong tempatan dan asing bagi merasai sendiri pengalaman sambutan Thaipusam di Malaysia yang dianggap unik berbanding di beberapa negara lain.

Pengunjung yang ditemui Bernama berasa teruja atas kesudian perdana menteri hadir ke kuil berkenaan untuk menyambut Thaipusam bersama penduduk Kuala Selangor dan kawasan sekitar. “Saya sudah 10 tahun datang sini masa Thaipusam dan ini kali pertama perdana menteri datang ke mari, dan kami semua gembira dengan kehadiran beliau,” kata M. Raj, 39.

Di Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves pula, Ahmad Zahid membawa khabar gembira dengan mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada kuil itu untuk membangunkan sebuah kompleks kebudayaan masyarakat India.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam Tan Sri R Nadarajah, Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur Tun Samy Vellu serta beberapa menteri kabinet, pemimpin masyarakat India selain ribuan penganut Hindu.

Thaipusam disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya, Dewi Parvati, bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman, dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Pada perayaan Thaipusam, penganut Hindu menunaikan nazar dengan membawa kavadi dan bekas berisi susu. Bagi yang menyambutnya di Batu Caves, mereka menaiki ratusan anak tangga menuju ke kuil di dalam gua di situ. Di Malaysia, Thaipusam turut disambut meriah di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit di Pulau Pinang dan Kuil Arul Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheruh, Ipoh, Perak.

Ratusan kavadi pelbagai corak dan warna dibawa penganut Hindu menaiki 512 anak tangga ke Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di Jalan Kebun Bunga untuk membayar hajat dan mendapat restu daripada Dewa Murugan.

Laluan utama ke kuil itu mulai sesak dengan penganut Hindu, orang ramai pelbagai kaum serta pelancong asing seawal 7 pagi.


Tinjauan Bernama mendapati cuaca yang baik juga mendorong banyak ibu bapa dari pelbagai bangsa membawa anak-anak mereka untuk merasai sendiri kemeriahan sambutan itu.

Di Seremban, Thaipusam disambut meriah dengan ratusan penganut Hindu berarak sejauh 5.2 kilometer bermula dari Kuil Puthu Vinayagar di Bukit Tembok, dekat sini melalui Jalan Rasah, Jalan Datuk Bandar Tunggal dan berakhir di Kuil Sri Balathandayuthapani di Jalan Kuil.

Dalam perarakan tersebut, ada penganut yang membawa kavadi dan juga bekas mengandungi susu bagi upacara keagamaan. Orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara turut bersesak sejak awal pagi untuk menyaksikan acara yang berlangsung.

Presiden Kuil Sri Balathandayuthapani, Kapten (Bersara) R. Parameswaran berkata acara yang diadakan menarik penyertaan kira-kira 3,000 penganut Hindu di kuil berkenaan.

Di Johor Bahru, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat ke sambutan Thaipusam bersama kira-kira 3,000 masyarakat India di Kuil Sri Subramaniar, Jalan Dato Esa.

Diiringi anakandanya Tunku Temenggong Tunku Idris Iskandar, Sultan Ibrahim turut meluangkan masa untuk majlis jamuan tengah hari bersama hadirin selain menyampaikan sejumlah sumbangan kuil berkenaan kepada 25 anak yatim daripada Persatuan Sri Ragavendra, Taman Kota Masai.

Dalam kunjungan ke Kuil Sri Subramaniar Paribalana Saba Masai, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada jawatankuasa kuil berkenaan untuk aktiviti kebajikan.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon yang hadir pada sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Bala Thandayuthapani di Seremban, berkata rakyat di negara ini disifatkannya sangat bertoleransi, dengan tiada isu yang timbul berkaitan upacara perayaan dan keagamaan setiap kaum.

Di Alor Setar, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menghadiri sambutan serupa di Kuil Sri Subramaniya Swamy Devasthanam, Jalan Kuala Ketil.

“Beberapa hari lalu saya menyampaikan peruntukan daripada perdana menteri berjumlah RM900,000, diagihkan kepada kuil dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di negeri ini, termasuk RM50,000 untuk kuil ini,” katanya pada majlis itu. – BERNAMA

Kategori