TEKNOLOGI media sosial yang semakin hari berkembang ini kadang-kala digunakan dengan cara salah oleh sesetengah pihak yang tanpa berfikir panjang membunuh diri menerusi aplikasi tersebut.
Terkini, seorang gadis dikenali sebagai Nitaya dari Thailand terjun dari Jambatan Rama 8 di Bangkok kira-kira jam 2 pagi kelmarin dan dia kini sedang dijejaki oleh pihak berkuasa kerana dikatakan telah hilang selepas kejadian itu.
Laporan yang dipetik daripada portal Nextshark memberitahu bahawa gadis itu dikatakan telah meminta pemandu teksi yang dinaikinya sebelum kejadian iaitu Pataradanai Noomsrinart, untuk membawanya ke jambatan tersebut.
Sesampai sahaja mereka di tempat kejadian, Nitaya yang berusia 18 tahun kemudian telah meminta agar pemandu teksi berkenaan untuk menunggunya di kereta tersebut.
Bukan itu sahaja, gadis malang berkenaan turut telah membayar lelaki tersebut wang berjumlah 500 baht (RM62) sebagai upah untuk merakam aksinya yang ingin disiarkan melalui Facebook Live.
Selain situasi yang tidak terkawal, gadis berkenaan turut berada dalam keadaan mabuk sambil menyanyi lagu bertemakan perpisahan.
Rupa-rupanya gadis berkenaan berasa tertekan selepas dia bergaduh dengan kekasih hatinya dan telah mengambil keputusan untuk duduk di atas jambatan itu sambil meminum arak.
Sedang pemandu teksi itu ralit membantu untuk memenuhi permintaan gadis tersebut, secara tiba-tiba Nitaya telah terjun ke dalam Sungai Chao Praya.
Akibat terkejut dengan kejadian itu, pemandu teksi tersebut terus menutup rakaman video agar dia dapat menghubungi pihak polis.
Menurut rakaman kamera litar tertutup berdekatan jambatan itu, jelas kelihatan Nitaya di jambatan tersebut sebelum kejadian dan telah terjun ke bawah tanpa ditolak mahupun dibantu oleh mana-mana individu.
Pihak polis peronda yang menerima panggilan daripada pemandu teksi itu telah menemui telefon bimbit. Dia turut menceritakan bahawa keadaan gadis itu bagaikan sedih dan turut kecewa dengan kisah yang dialamiya.
Bagaimanapun, Nitaya langsung tidak menunjukkan tanda bahawa dia akan membunuh diri kerana menurut Pataradanai, gadis berkenaan kelihatan terkapi-kapai kelemasan selepas terjatuh dari jambatan itu.
Apabila pihak polis menghubungi keluarga gadis tersebut, difahamkan Nitaya tidak lagi tinggal di rumah itu sejak dua tahun lalu dan mengambil keputusan untuk menetap dengan teman lelakinya dalam tempoh itu. – MYNEWHSUB.CC/AH