• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Friday, April 3, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

ECRL: Perkhidmatan, Pertanian Raih Manfaat

oleh Ahmad Albab
16/01/2018
dalam Terkini
0
Share on FacebookShare on Twitter

KUALA LUMPUR – Sektor perkhidmatan dan pertanian Kelantan dijangka menerima manfaat daripada Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kata Penganalisis MIDF Research Abdul Fadhli Zil Ikram Dzulkifly.

“Perubahan dalam pertumbuhan logistik ini akan merangsang bekalan dan permintaan bagi sektor perkhidmatan yang menyumbang sebahagian besar daripada keluaran dalam negeri kasar dan penghasilan pertanian Kelantan,” katanya.

Penerima manfaat utama dalam kes ini ialah Pusat Bekalan Tok Bali dan syarikat-syarikat yang beroperasi di situ dan di Kawasan Pembangunan Bersama Thai-Malaysia, katanya kepada Bernama.

Pada Ogos 2017, China dan Malaysia menandatangani perjanjian bernilai RM55 bilion bagi melaksana projek mega, ECRL sepanjang 688 km, yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung, selain pelabuhan perkapalan utama.

ECRL diunjur mengangkut 26 juta tan kargo setahun menjelang 2025. Angka ini dijangka meningkat kepada 40 juta tan pada 2035.

Di samping itu, kira-kira 5.07 juta penumpang dijangka menggunakan perkhidmatan kereta api ini setahun menjelang 2025, dengan angka itu dijangka meningkat kepada 5.97 juta pada 2035.

Mengenai jarak jajaran ECRL, 54.9 km dibina di Kelantan, menghubungkan Tok Bali bagi perkhidmatan penumpang dan kargo, Jelawat (penumpang), Kota Bharu (penumpang) dan Wakaf Bharu (penumpang dan kargo).

Abdul Fadhli berkata masa perjalanan yang pendek bagi memasarkan produk, memberi manfaat besar kepada sektor perkhidmatan dan pertanian.

Projek ini juga dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, terutama berkaitan sektor pembinaan, dengan potensi peningkatan aktiviti pembinaan menerusi ECRL selain menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“Banyak yang bercakap tentang manfaat yang bakal diraih Tok. Namun, pada pendapat saya, penjajaran keseluruhan rangkaian kereta api ini boleh dimanfaatkan untuk mempromosikan pelancongan di kawasan ini,” kata Dr Shahrin Nasir, Timbalan Pengarah (Hubungan Industri & Pengkomersialan) Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Beliau berkata persekitaran perniagaan juga akan berubah, dengan perubahan tumpuan terhadap pembangunan perindustrian di Pantai Barat.

“Menerusi ECRL, kita akan dapat melihat lebih banyak pembukaan kawasan perindustrian di Pantai Timur, dan pada masa yang sama menyokong projek sedia ada di kawasan itu.

“Apabila lebih banyak kawasan perindustrian dibuka, orang akan mula bergerak dari Barat ke Pantai Timur. Contohnya Taman Perindustrian Gambang. Jika lebih banyak taman perindustrian boleh dibina di Terengganu dan Kelantan, ia akan menjadikan negeri-negeri berkenaan lebih makmur,” katanya.

ECRL boleh memanfaatkan industri automotif yang membangun di Pantai Timur, dengan kemudahan rel membantu mempercepat pergerakan kereta, danjika perlu, dieksport melalui Pelabuhan Klang.

Satu kajian mengenai rangkaian rel yang dijalankan seawal tahun 1981, termasuk cadangan penjajaran ECRL, yang dirujuk sebagai Rangkaian Kereta Api Timur-Barat, yang menghubungkan Kota Bharu dan Pelabuhan Klang.

Projek ini merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), sebagai tulang belakang bagi pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menerusi ECER, perancangan terperinci untuk ECRL bermula pada 2007. Namun cabaran terbesar ialah memastikan ia menjadi perkhidmatan pilihan untuk pergerakan penumpang dan kargo.

Abdul Fadhli berkata menambah jumlah atau lalu lintas bagi pembangunan berorientasikan transit (TOD) bagi memaksimumkan pelaburan dalam hartanah atau projek di dalam atau bersebelahan ECRL dan menarik pelaburan langsung asing, merupakan antara cabaran terbesar bagi projek itu.

Perniagaan kereta api perlu dipertingkat supaya mampan, sama seperti yang dilakukan oleh KTMB dengan memperkenalkan ETS dalam perkhidmatannya, kata Shahrin.

“Menerusi perkhidmatan yang boleh dipercayai, pelanggan akan yakin untuk menggunakannya. Rel mempunyai masalah alam sekitar yang rendah, dan jika rakyat Malaysia boleh diperlihatkan kelebihannya, ECRL boleh menjadi perkhidmatan pilihan mereka,” katanya. – BERNAMA

Tags: ECRLPantai Timur
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Trafik Perlahan, Laluan Sesak Dari Gombak Hala Pantai Timur, Kenderaan Bertali Arus Dari Slim River Ke Tapah

Trafik Perlahan, Laluan Sesak Dari Gombak Hala Pantai Timur, Kenderaan Bertali Arus Dari Slim River Ke Tapah

15/02/2026
0

KUALA LUMPUR: Aliran trafik menghala Pantai Timur dari Gombak ke Genting Sempah sesak anggaran 11 kilometer pagi ini. Jurucakap Lembaga...

Curi Kabel ECRL: Dua Lagi Lelaki Berjaya Ditahan

Curi Kabel ECRL: Dua Lagi Lelaki Berjaya Ditahan

03/10/2025
0

TEMERLOH - Polis berjaya menahan dua lagi lelaki termasuk seorang warga asing dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Projek Laluan...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd